SAYA yakin ini bukan taktik atau strategi Umno menggunakan seorang menteri kerajaan untuk bersekongkol dengan akhbar proksinya memulakan perang saraf dalam usaha kerajaan untuk membunuh kecelaruan politik yang dihadapinya hari ini.
Saya percaya, kenyataan terbuka Nazri Aziz sebagai seorang menteri kerajaan yang 'membasuh' Utusan Malaysia, khususnya Awang Selamat kerana sifat kolumnis itu yang kurang peka, kurang ilmu dan kurang pengalaman dalam memahami senario politik hari ini adalah datang daripada kejujurannya.
Dengan jelas, Nazri berkongsi rasa kurang hormat rakyat negara ini terhadap Awang Selamat dan akhbarnya kerana masih mengekalkan mentaliti amat rendah kerana tidak faham dan reti dengan peranannya untuk membantu kerajaan menarik sokongan lebih ramai rakyat menjelang pilihanraya akan datang. Mesej Nazri adalah jelas mahukan kerajaan yang ada menang dalam pilihanraya, tetapi Awang Selamat oleh sebab yang bukan sahaja Nazri sendiri tidak faham, tetapi rakyat juga amat sukar memahaminya, telah mencuba dengan kebodohan untuk menjadi juara, menentukan siapa betul, siapa salah. Menyokong Tun Mahathir dan Ibrahim Ali, seperti dilakukan Awang Selamat dalam tulisannya, bagi Nazri adalah satu perbuatan yang'tolol' apatah lagi menyerang konsep 1Malaysia yang diperkenalkan.
Kata Nazri, dia menyokong bosnya dalam kerajaan dan tidak akan menyokong orang lain. Nazri akui Tun Mahathir antara Perdana Menteri terbaik, tetapi itu tidak bermakna beliau sentiasa betul dan tidak ada salah dalam pandangannya. Di sinilah silapnya Awang Selamat dan akhbarnya kerana menyokong Tun Mahathir tanpa garis dan sempadan akal.
Malah, Nazri tanpa segan memberitahu Awang Selamat, bahawa beliau tidak kenal siapa Awang Selamat yang cuba berlagak pandai dalam tulisannya. Memang apa yang Nazri luahkan adalah luahan majoriti rakyat negara ini. Meluat dan benci dengan sikap Awang Selamat dan akhbarnya yang amat rendah moral dan tebal dengan ketololan.
Nasihat Nazri yang Awang Selamat kena beri perhatian ialah naikkan semula martabat akhbar itu daripada kejatuhan moral yang amat rendah dan berusaha untuk menaikkan pengedarannya yang telah merudum. Itu lebih baik daripada mahu menjadi orang atau akhbar serba tahu yang sebenarnya bodoh dan tongong!