UTUSAN MALAYSIA adalah antara punca kenapa rakyat semakin menolak kerajaan yang ada. Sama ada kerajaan sedar atau tidak, terpulang kepada kerajaan itu sendiri untuk melakukan sesuatu.
Sebagai senjata barisan depan kerajaan, Utusan Malaysia sebenarnya telah gagal berfungsi sebagai proksi kepada sebuah parti politik yang memerintah. Sifat berat sebelah, tidak berhemah, berlagak pandai dan salah dalam membuat banyak pertimbangan terutama melibatkan dalam kerja menyalurkan berita dan maklumat, menjadi antara kelemahan amat ketara pengurusan akhbar ini.
Kelemahan ini bukan berlaku sekarang, tetapi telah diwarisi sejak dulu, tetapi kebelakangan ini semakin menjadi-jadi oleh sebab tiadanya sesiapa daripada parti pemerintah yang berani menegur dan mengkritik! Sifat sebuah akhbar yang suka menyondol tanpa sebab tanpa menggunakan akal dan fikiran dilihat oleh rakyat Malaysia majoriti sebagai satu sifat yang mesti dimusnahkan. Sifat ini amat rendah nilai dan kesannya jika dibiarkan berterusan.
Membiarkan diri menjadi kuda, kadang-kadang kepada orang yang membawa virus menanam kebencian masyarakat, adalah amat sukar difahami.
Kalau kerajaan yang ada sekarang mahu melihat rakyat menghormati mereka, Utusan Malaysia mesti dikorbankan. Akhbar ini amat rendah moralnya. Rombakan mesti dilakukan walaupun masih ada yang tidak boleh menerima kenyataan ini.
Berbanding Berita Harian, Utusan Malaysia pada sesetengah rakyat dianggap bukan lagi seperti sampah, tetapi bak najis yang mesti dibersihkan.