nuffnang ads

Saturday, September 18, 2010

KONSEP 1MALAYSIA AKAN BERKUBUR.

KEGAGALAN Perdana Menteri menjelaskan secara menyakinkan tentang konsep 1Malaysia, menyebabkan orang Melayu khususnya semakin kelabu dan keliru. Dibelenggu oleh kebimbangan konsep itu berasaskan sama rata dalam semua perkara, tanpa mengira kaum dan bangsa, orang Melayu semakin membawa hati.

Dan semalam Perkasa pula meminta Perdana Menteri menjelaskan secara lebih telus dan terbuka, apa sebenarnya konsep 1Malaysia ini? Secara peribadi, saya sendiri tak faham, sahabat-sahabat saya tak faham, ada jiran saya tak faham. Dan dalam lingkungan saya, lebih kurang 100 orang yang tak faham! Bayangkan dalam lingkungan rakyat lain, tentu angka yang keliru dan tak faham tentang konsep diperkenalkan Perdana Menteri ini mencecah jutaan orang. Kalau tak percaya, tunggu hari mengundi. Di situ ada kalkulator dan matematiknya!

Bagi saya, konsep 1Malaysia ini hanyalah skrip wayang dan mainan bibir semata-mata. Tak ada kejujuran dalam konsep ini. Akhirnya, orang Melayu yang rugi, sama maksudnya Malaysia - iaitu Malay itu Melayu dan Sia itu rugi. Kalau digabungkan menjadikan Malaysia itu bermaksud Melayurugi!

Kalau betul Perdana Menteri jujur mahu melaksanakan konsep 1Malaysia, tolong perjelaskan kepada kami orang Melayu apa yang beliau faham tentang China Town dan Little India di Petaling Street dan Brickfields. Saya dan banyak lagi orang Melayu sentiasa menunggu penjelasan beliau. Tak perlulah jawapan retorik atau alasan bersifat akademik yang tutorial sifatnya.

Kenapa Perdana Menteri beriya-iya menyokong kewujudan Little India di Brickfields dan China Town di Petaling Street. Seksyen nombor berapa dalam perlembagaan kita membenarkan bandar peniagaan diagihkan mengikut kaum? Brickfields untuk India dan Petaling Street untuk Cina? Melayu bandar perniagaannya atau Little Melayu atau Melayu Townnya di mana?

1Malaysiakah kalau Little India di Brickfields dipenuhi peniaga India dan 1Malaysiakah China Town di Petaling Street kalau majoriti peniaganya China? Dan selepas berpuluh tahun, apalah maknanya kalau kerajaan masih mendukung dasar ini dengan memberi pengiktirafan dan promosi berterusan untuk dua bandar mengikut kaum itu? 1Malaysiakah kita.

Perdana Menteri juga harus berani menjawab, 1Malaysiakah kalau kerajaan TAK BERUPAYA memperkenalkan sekolah satu aliran. Mekanisme yang sepatutnya menjadi teras pembentukan jati diri dan keperibadian sebagai bangsa Malaysia. 1Malaysiakah juga kalau kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk memastikan semua rakyatnya tanpa mengira kaum dan agama untuk fasih dan mahir berbahasa Malaysia, bahasa kebangsaan negara kita?

Jelas saya tidak faham apa itu 1Malaysia. Betul keliru. Keliru betul-betul! Hanya yang saya nampak 1Malaysia ialah apabila bukan Islam mulai menguasai bidang pembuatan batu nisan dan kain kapan. Yang lain-lain bolehkah Perdana Menteri jelaskan supaya rakyat faham. Secara jujur saya yakin semakin ramai orang Melayu mulai merajuk dan membawa hati. Semakin ramai berpaling kini. Semakin ramai tidak menyokong kerajaan sejak konsep 1Malaysia ini diperkenalkan. Kalau tidak percaya, abaikan sahaja catatan ini tapi tunggulah hari mengundi. Kita tengok siapa menangis.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10