nuffnang ads

Thursday, September 16, 2010

KONGSI GELAP, DADAH DAN JENAYAH

UNTUK menjadikan seseorang yang tegar dalam dunia jenayah, dia mesti disokong oleh kehadiran dua elemen penting iaitu dadah dan kongsi gelap. Rumusan ini tidak memerlukan kajian bersifat akademik kerana pengalaman dan pemerhatian sahaja sudah lebih daripada mencukupi untuk mengiyakannya.

Kebijaksanaan peguam yang menjadi dalang pembunuhan Sosilawati, bukan kerana kecerdikannya sebagai seorang manusia semata-mata, tetapi dibantu oleh latar belakang dua elemen utama yang dinyatakan itu. Tanpa kedua-dua elemen itu, dia tidak akan berani melakukan jenayah yang bersifat sadis, zalim dan mengaibkan.

Didorong oleh sifat tamak semulajadi, segala tindakannya untuk melakukan jenayah dibantu oleh ahli kongsi gelap yang kerjasama mereka akan dapat dibeli jika ada wang. Di sinilah peguam itu melihat adanya peluang untuk beliau merealisasikan cita-cita untuk menjadi kaya raya dengan apa cara sekali pun. Konsep matlamat menghalalkan cara dilakukannya. Itu sebab kebanyakan urusan membabitkan jual beli tanah, berakhir dengan penipuan atau pembunuhan. Penggunaan khidmat ahli kongsi gelap telah dimanfaatkannya sebaik mungkin. Malah secara tidak langsung, dia dihormati sebagai antara ketua dalam pergerakan kumpulan jenayah itu!

Kewujudan kongsi gelap di negara ini, terutama di bandar tertentu seperti Klang bukan rahsia lagi. Ia telah wujud sejak sekian lama. Tidak lama dulu, seorang ketua kongsi gelap telah ditikam mati di Shah Alam dan ketika mayat dia dibawa untuk dibakar, lebih 1,000 orang kebanyakannya ahli kumpulan itu mengiringi kenderaan membawa mayatnya mengelilingi beberapa laluan di sekitar Shah Alam. Paling menyakitkan hati, keranda yang menempatkan mayat ketua kumpulan itu, turut ditandakan nombor tertentu sebagai ikon atau pengenalan kumpulan berkenaan. Sakit hati masyarakat melihatnya!

Oleh kerana mudahnya mendapatkan khidmat ahli kumpulan kongsi gelap, dia melakukan segala jenayah yang dirancang dengan bongkak dan angkuh. Pada masa yang sama dia cuba mewujudkan satu rangkaian perhubungan awam yang baik di sekelilingnya dengan menjadikan masyarakat terdekat, ahli politik dan pihak berkuasa sebagai rakan. Pembentukan imej baik dilakukannya dengan sering melakukan kerja amal, bertujuan melindungi kisah buruk di belakang tabir. Dia akan memberi hadiah dan derma. Setiap kali derma dibuat dia berusaha memastikan ada ahli politik datang dan menyedari apa yang telah disumbangkannya. Dia juga memastikan media membuat liputan segala kerja baiknya itu. Inilah, antara modus operandi seorang penjenayah berpendidikan tinggi.

Bagi memastikan segala kerja membunuh dan melupuskan bukti dilakukan, dia tahu bukan semua orang boleh melakukannya. Orang yang sanggup melakukan kerja itu hanyalah orang gila dan orang yang ketagihan Ketamin! Maka dia sudah semestinya tahu di mana untuk mendapatkan ketamin. Dengan duit, ketamin akan diperolehi. Memang ketamin ini diakui sering dibawa masuk ke negara ini dari India! Banyak pengedar dadah India telah ditangkap selama ini. Chennai merupakan antara pusat dadah ini di India! Malah ia juga dikatakan pusat penjenayah berkumpul! Peguam ini dilaporkan sering juga pergi ke Chennai. Untuk apa? Kita fikir-fikirkan sahaja.

Kini polis dicadangkan juga menyiasat pemilikan dan penggunaan senjata api di kalangan penjenayah yang ada kaitan dengan peguam ini. Polis mesti menyiasat hal-hal berkaitan pengedaran dadah, perniagaan pemberi pinjaman wang dan rangkaian peguam ini dengan kongsi gelap, pemimpin kaum dan pemimpin politik. Hendak atau tidak, kita terpaksa melakukan siasatan menyeluruh kerana dipercayai dia terbabit dalam banyak jenayah lain yang belum terbongkar sepenuhnya! Dan sudah tentu bukan dia seorang sahaja melakukannya. Mesti ada satu rangkaian yang mesti diketahui ahlinya, lokasinya dan modus operandinya.

Satu transformasi dan reformasi mesti berlaku kalau kita mahu melihat, penjenayah dan kadar jenayah dilakukan mereka berkurangan di negara ini.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10