APA nak takut dan hairan sangat fasal api terbang? Tanya seorang kawan. Sekarang besi terbang pun hari-hari kita nampak. Bunyi cakapnya sinis. Saya terpandang sebuah kapal terbang sedang terbang dan barangkali mahu turun di Sepang. Saya pun faham apa maksud cakapnya itu.
"Ini cerita fasal api terbang orang dulu-dulu lagi banyak nampak. Lagi besar-besar" katanya bangga. "Ada lagi yang kita belum nampak terbang, tapi dulu-dulu banyak orang tengok" ditambahnya bebel.
"Apa yang terbang tu?" saya tanya.
"Parang terbang!"
Saya diam. Kemudian kami bercerita lagi fasal api terbang. Saya mahu dia serius memberi pandangannya. "Kalau engkaulah yang nampak api terbang tu, macam mana" saya tanya.
Dia menyengih kemudian menjawab. "Tahulah aku nak buat apa!"
"Nak buat apa?" saya tak faham.
"Aku panggil bomba suruh siram. Kalau tak boleh suruh kelawar yang terbang malam kencingkan!"
Demikianlah orang yang tidak mempercayai cerita orang. Memang dia mempunyai sebab untuk bercakap begitu. Sebab dia tidak melihatnya sendiri dan kita tak boleh memaksa dia mempercayai cerita orang. Lagi pun cakap orang belum tentu betulnya!