JIKA benar. Ya, jika benar semua mangsa diperdaya semata-mata kerana sifat tamak menguasai diri, pembunuhan di ladang Gadong, Tanjung Sepat adalah satu jenayah pembunuhan paling kejam, aib dan menghina mangsa, waris dan kita sebagai manusia mendengarnya.
Selepas diugut, dipukul, ditikam dan diseksa, mayat mereka dilumurkan najis lembu sebelum dicurah minyak dan dibakar di atas zink tanpa belas kasihan. Perbuatan demi perbuatan yang aib, mual dan dayus untuk mengambil nyawa mereka yang tidak bersalah itu atas nama duit dan kekayaan dunia, tentulah tidak boleh diterima oleh akal manusia yang waras.
Kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, itu adalah perbuatan tidak berhati perut yang amat menyedihkan. Tiada manusia yang waras akan melakukannya.
Kata Datuk Shahrizat Abdul Jalil, neraka pun tidak akan menerima mereka kerana telah melakukan perbuatan yang terlampau kejam.
Kata Datuk T Murugiah, hukuman paling keras mesti dikenakan dan pastikan mereka tidak boleh lepas daripada hukuman gantung.
Kata Datuk Mashitah Ibrahim, perbuatan jenayah itu amat zalim dan kejam.
Kata waris-waris mangsa yang terkorban, mereka mahu tindakan setimpal dikenakan ke atas setiap yang melakukan pembunuhan itu.
Kata sahabat saya, dia tidak akan memaafkan perbuatan paling hina dilakukan ke atas umat Islam yang dalam saat menantikan kegembiraan merayakan Aidilfitri.
Kata saya, telah tiba masanya manusia sebegini diberi pengajaran dan diajar bagaimana mahu hidup sebagai manusia yang beradab.