Sebahagian lelaki yang terbabit dalam pertempuran dalam rusuhan di depan pejabat Pengadilan Negeri Jakarta Selatan sempat dirakamkan membawa senjata tajam ketika bertempur. |
Lebih 100 penduduk merusuh dan menyerbu markas polis Lombok Barat, menuntut dua rakan mereka yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam satu kes pembunuhan. Polis terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan mereka. |
KETIKA suasana tegang di Tarakan Kalimantan Timur yang telah meragut tujuh nyawa masih belum dapat diselesaikan, dua kejadian membabitkan rusuhan berlaku di Lombok Barat dan Jakarta Selatan semalam.
Di Jakarta Selatan, sekumpulan lelaki bertempur sesama sendiri menggunakan senjata api dan senjata tajam di luar bangunan Pengadilan Negeri Jakarta Selatan, menyebabkan tiga terbunuh dan 12 cedera, termasuk 3 di antara yang cedera, anggota polis.
Ketua Polis Jakarta Selatan, Gatot Edy Pramono, berkata polis masih belum dapat mengenalpasti punca kekecohan yang menyebabkan tiga terbunuh itu. Namun dalam nada keras beliau meminta semua yang terbabit menyerah diri. Jika tidak polis akan memburu mereka sehingga ke lubang cacing!
Satu lagi rusuhan membabitkan lebih 100 penduduk menaiki motosikal yang menyerbu markas polis di Lombok Barat. Mereka yang bersenjata tajam, memaksa polis membebaskan dua rakan mereka yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam satu kes pembunuhan.
Oleh kerana polis tidak mahu memenuhi tuntutan bodoh itu, perusuh dikatakan membaling batu ke arah polis dan mula bertindak agresif. Menyedari keadaan itu tidak boleh dibiarkan, polis terpaksa menggunakan meriam air untuk mengusir mereka sehingga satu kilometer daripada markas polis berkenaan.
Nampaknya sejak Indonesia mendapat Peguam Negara, Ketua Polis dan Ketua Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang baru, pelbagai insiden berlaku dan menimpa negara jiran itu.