AHLI PERNIAGAAN, Datuk Soosilawati Lawiya dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, bersama tiga individu yang lain selepas dilaporkan memberitahu keluarganya mahu menghadiri perbincangan mengenai urusan perniagaan di Banting, Selangor.
Polis menerima dua laporan mengenai kehilangan pengasas sebuah syarikat kosmetik terkenal itu daripada anaknya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan mengikut prosedur laporan orang hilang kerana tiada sebarang panggilan telefon diterima daripada mana-mana pihak menuntut wang tebusan.
Soosilawati yang juga bekas isteri kepada penyanyi terkenal Nash dikatakan memaklumkan keluarganya akan keluar hanya dalam tempoh tiga hari. Bagaimanapun selepas gagal dihubungi oleh anak dan ahli keluarga yang lain mereka mulai risau lalu membuat laporan polis.
Tidak diketahui setakat ini nama atau individu yang turut hilang bersama Soosilawati kecuali seorang daripadanya dikatakan pemandu manakala seorang lagi peguam.
Orang ramai diminta menghubungi polis jika mempunyai maklumat mengenai kehilangan beliau. BERSAMA MENCEGAH JENAYAH