nuffnang ads

Thursday, September 16, 2010

CERITA LEMBAGA DAN GUMPALAN API TERBANG DI TANJUNG SEPAT!!

BARU SAHAJA pulang dari pekan Banting. Hajat hati mahu ke Morib, kemudian turun ke Tanjung Sepat dan pusing ke Sepang. Memandangkan takut lewat saya batalkan hasrat.

Namun kisah sama selepas banyak kali pembunuhan berlaku, tiba-tiba singgah ke telinga diceritakan seorang pemandu kereta yang baru sahaja selesai mengisi minyak di sebuah stesyen minyak di Banting. Ketika singgah di tempat pam angin itulah terkeluar ceritanya. Cerita tentang lembaga terbang dan gumpalan api yang dikatanya telah banyak dilihat orang di Tanjung Sepat!

Saya biarkan sahaja dia bercerita, sebab saya sudah biasa sangat cerita-cerita begini. "Kalau dia orang bohong bohonglah saya bang," kata empunya mulut.

"Saya datang ini pun sebab nak tengok, tapi kawan saya dalam kereta tu tiba-tiba sahaja ajak balik. Dia kata hati tak sedap!' dia menuding jari ke arah rakannya yang separuh berbaring di kerusi depan keretanya.

Bila pam angin itu diserahkan kepada saya, dia menambah lagi. "Saya rasa kalau tak betul, orang tak cakap. Benda tu nampak kat banyak tempat tepi sungai sebelah malam. Kebetulan malam ni malam Jumaat, itu yang rasa nak tengok. Tapi dengar kawan cakap hati tak sedap, goyang jugak hati saya," katanya dan terus bersalam minta izin mahu pulang ke Shah Alam.

Kebetulan saya singgah di tepi pondok bas untuk membetulkan bonet belakang kereta yang tidak tertutup rapat. Ada empat remaja sedang bersidai, seorang daripadanya ramah pula bertanya.

"Dari mana bang?"

Entah sebab apa gatal pula mulut saya berbohong. "Tengok tempat polis cari tulang kat Tanjung Sepat!" jawap saya. Dan belum sempat saya nak gelak kerana berbohong, remaja Melayu yang bertanya itu pun menambah lagi.

Katanya: "Abang tengok api terbang ke?"

Tergamam saya ketika. "Api apa?"

Kawannya yang duduk paling tepi bangun menjawab. "Dah heboh sekarang bang. Abang tak dengar ke? Banyak orang ada nampak bola api terbang kat tepi sungai tu!" bersungguh-sungguh dia bercerita. Kebetulan atau apa, fikir saya, Tadi baru sahaja mendengar cerita serupa. Kini ada lagi yang bercerita mengenainya.

"Abang tak nampak pun. Lagi pun tadi singgah sekejap aje!" sekali lagi saya berbohong.

"Kita orang ni pun tengah tunggu kereta member, nak pergi tempat tu. Kata ramai orang nak tengok. Cerita tu dah heboh kat sini bang!"

Saya terdiam. Kemudian saya minta maaf untuk pergi. Dari wajah mereka bercerita, semacam bersungguh-sungguh. Dalam hati saya tiba-tiba berdetik pula bertanya diri sendiri. Betul ke?

Dan sepanjang perjalanan pulang, fikiran saya berkecamuk pula. Macam-macam terfikir. Sesekali teringat pengalaman paha bengkak tiba-tiba sewaktu pulang selepas membuat liputan di Ulu Dong, tempat arwah Datuk Mazlan dibunuh. Sesekali teringat pula pengalaman melawat jenazah seorang pegawai DBKL yang mati di dalam kereta, berbelas tahun lalu. Ketika itu bila pulang habis satu badan berbau kemenyan.

Entahlah. Cerita mulut ke mulut tentang orang ternampak lembaga dan objek api terbang baru malam ini saya dengar. Kepada pembaca, abaikan dulu kebenaran cerita ini, sebab bukan saya yang melihat sendiri lembaga atau objek api itu. Tapi dari mulut orang. Kalau panjang umur, esok cadang nak melawat kawasan berkenaan. Mahu tengok ramai tak yang menunggu, seperti cerita UFO turun di Tanjung sepat sekitar 1996 dulu.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10