MALAM tadi saya sempat meninjau-ninjau sekitar Banting, Morib dan Tanjung Sepat. Nampaknya bukan saya seorang sahaja berminat untuk mendengar cerita tentang api terbang yang kedengaran sejak tiga hari lalu. Beberapa orang yang saya temui juga ada menganggukkan kepala.
Ada satu keluarga dari Johor katanya, datang dan menginap di sekitar Banting menghabiskan satu malam meronda di sekitar sungai tempat polis mencari tulang dipercayai milik mangsa pembunuhan. Lelaki itu mendakwa mendengar cerita tentang api terbang daripada SMS yang diterimanya.
"Bukan saya nak percaya, tapi saya ni jenis nak tahu. Itu sebab saya datang ke sini. Kejadian macam ini bukan mustahil sebab semuanya kuasa Tuhan," katanya lagi.
Kami bertemu di pekan Tanjung Sepat. Dia mengajak saya bersekali dengannya untuk meninjau-ninjau kawasan itu sehingga lewat pagi tapi saya menolaknya kerana mata saya sejak kebelakangan ini jenis tak tahan lama.
Berbalik kepada certa api terbang di tepi-tepi sungai, memang pelbagai versi didengar. Ada mengatakan kejadian itu bukan berlaku sekarang, tetapi sejak beberapa tahun lalu dan ada cerita pula terdengar mengatakan seorang pekerja kilang kelapa sawit yang pulang waktu malam menunggang motosikal, terjatuh kerana mendakwa terkejut nampak segumpal api terbang tidak tinggi dari kepalanya melintasi jalan.
Dan malam tadi selain nampak beberapa kereta peronda polis berulang-alik, saya juga perasan kelibat pemandu kereta yang berhenti atau memperlahankan kenderaan mereka apabila menghampiri kawasan Sungai Kancong Laut. Berbelas motosikal mungkin ditunggang remaja kampung terdekat ke hulu ke hilir menambahkan meriah malam di kampung itu.
Kisah api terbang dan lembaga ini menjadi kisah selingan di sebalik kejutan berlaku akibat terbongkarnya kes pembunuhan berprofil tinggi sejak lebih seminggu lalu. Untuk berlaku jujur memang saya mengakui sepanjang meronda itu dua kali saya ternampak cahaya seperti luncuran bunga api, tetapi padam tidak sampai 30 saat. Kejadian pertama dilihat di kawasan kelapa sawit apabila api macam 'tuju-tuju' laju terbang dan hilang. Kedua, ketika dalam perjalanan pulang dan singgah di pantai Morib.Gumpalan api berekor nampak di atas laut sebesar genggaman tangan dan ia juga hanya dilihat seketika seperti kejadian pertama.
Demikian antara cerita orang dan realiti. Saya tidak tahu, api terbang yang dimaksudkan orang itu macam mana! Yang saya yakin, semua kejadian boleh berlaku dalam dunia ini kalau diizinkan Allah.