PADA saat ini, ketika Aidilfitri semakin tiba, marilah kita berdoa untuk keselamatan Datuk Soosilawati. Ketika seorang peguam dipercayai keturunan India sedang dicari untuk membantu siasatan kehilangan ini, keluarga Soosilawati seharusnya kuat.
Tabahkan hati, berdoalah semoga Allah memberi yang terbaik. Kepada orang ramai jangan berputus asa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa. Polis tentu telah tahu apa yang terbaik untuk mereka lakukan bagi menangani suasana begini.
Kepada isteri dan keluarga Norhisham, anda juga harus tabah. Begitu juga kepada keluarga peguam Ahmad Kamil. Ketabahan anda untuk berdepan saat begini, adalah terapi paling mujarab untuk merawat kesedihan. Kepada keluarga Kamarudin, pemandu Soosilawati anda juga harus tabah dan berani. Saya tidak pasti, tetapi menurut sumber, Kamarudin seorang duda dan belum lama sangat bekerja dengan ahli perniagaan itu.
Kita serahkan kepada Allah dan pihak berkuasa untuk membantu. Masuk hari kesepuluh kehilangan mereka. Kalau mengikut logik, Soosilawati tentunya telah siap berurusan di Banting, kerana dia telah dilihat membeli kerepek untuk kakitangannya. Tentu kurang tepat masanya, dia membeli kerepek dahulu jika tugas lebih besar belum dilunaskan. Lagipun keretanya telah ditemui di Subang Jaya.
Sekali lagi kepada semua keluarga yang terlibat terutama keluarga Soosilawati, anda harus tabah. Serahkan tugas ini kepada pihak berkuasa. Secara peribadi saya turut berdoa agar segalanya terungkai tapi sentiasa ingatlah Allah itu ada dan Dia sedang menguji anda kerana Allah sayangkan anda.