SEGALANYA belum selesai selepas Norman Hakim bertunang dengan Memey atau Suhaiza Suhaimi! Kata Abby yang masih cun itu, dia mahu mengingatkan Memey supaya jangan mengulang-ulang berkata yang dia (Memey) dapat menerima anak-anaknya (Abby) sebagai anak sendiri.
Jangan harap! Demikian agaknya maksud Abby mengulas serba sedikit 'hal' yang belum usai antara dia, Norman dan Memey selepas bekas suaminya itu bertunang 13 September lalu.
Kepada Memey, Abby berkata: "Mereka (anak-anak) adalah anak dan zuriat saya dan saya amat berat hati untuk menerima Memey menjadi ibu mereka. Dia langsung tak menghormati perasaan saya. Kalau teringin hendak anak juga, beranaklah sendiri, jangan ambil anak orang".
Rasanya Abby tidak menyimpan dendam di atas pertunangan bekas suaminya itu dengan Memey, tetapi apa yang Abby luahkan kepada Nor Akmar Samudin dari Harian Metro, seperti dilaporkan hari ini berpijak pada realiti. Abby hanya mahukan haknya. Itu sahaja.
Dua perkara telah Abby luahkan. Pertama dia meminta jangan sesekali Memey bercakap kepada orang yang anak-anak Abby adalah macam anak-anak dia juga. Itu memang Abby tak suka!
Perkara kedua pula ialah permintaannya kepada Norman supaya menjelaskan hutang hantaran kahwin yang belum dilunaskan bekas suaminya itu sejak mereka bernikah. Dakwa Abby, Norman masih berhutang hantaran kahwin berjumlah RM11,111.11! Omaak ooii...
"Sepatutnya Norman Hakim jelaskan dulu hutang wang hantaran saya sebanyak RM11,111.11 dan kemudian barulah dia beri pula wang hantaran baru kepada orang lain," kata Abby yang masih menawan itu.
Abby dan Norman bernikah pada 8 Januari 2002 dan mereka dkurniakan tiga anak, Mohamed Danish Hakim, 7, Marissa Dania Hakim, 5 dan Maria Danisha Hakim, 2.
Jelas Abby kepada Harian Metro lagi, dia tidak kisah pun kalau Norman dan Memey berkahwin, tetapi masalahnya sekarang ialah Norman perlu menjelaskan hutang hantaran perkahwinan dulu sebelum menyediakan hantaran baru untuk Memey.
Kata Abby, wang itu paling tidak dapat juga digunakannya untuk menampung perbelanjaan ketiga-tiga anak yang di bawah jagaannya kini.
Tanpa berselindung, Abby meluncurkan kata-kata yang Norman menurutnya sejak awal perkahwinan lagi tidak bersedia untuk meletakkan dirinya sebagai suami.
"Saya tak tahu apa yang difikirkannya. Dia hendak buat apa, sesuka hatinya saja dan saya rasa ia tidak patut berlaku. Selama ini saya banyak mengalah dan apabila memutuskan hendak bercerai, perkara itu semakin memberi ruang kepadanya untuk bersikap lepas tangan"
Demikianlah sedikit cerita Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan kepada Harian Metro, tentang skrip di belakang langsir perkahwinannya dulu bersama Norman.