nuffnang ads

Saturday, August 28, 2010

UTUSAN MALAYSIA DIDAKWA BUAT LAPORAN PALSU KES AHLI PARLIMEN DAP TAZKIRAH DI SURAU

UTUSAN MALAYSIA sekali lagi didakwa menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan beradab dalam menyiarkan berita apabila mengenepikan nilai dan etika kewartawanan sebenar dengan menyiarkan berita tidak benar mengenai kunjungan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching ke Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada malam Ahad lalu.

Tanpa menghubungi Ahli Parlimen berkenaan untuk mendapatkan pandangan balas, Utusan Malaysia telah menyiarkan laporan muka depan menggambarkan Teo sedang memberi tazkirah di surau berkenaan, sedangkan ia hanya majlis penyerahan cek bantuan.

Kesan daripada penyiaran berita yang mengelirukan dan didakwa bertujuan jahat oleh Teo telah menyebabkan kemurkaan Sultan Selangor yang serta merta mengarahkan pengurusan surau berkenaan diambilalih oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Selain bertindak mengabaikan etika kewartawanan, kesan daripada laporan Utusan Malaysia itu telah mencetuskan kekeliruan, salah faham, prasangka dan persepsi yang terlalu skeptikal dan sinis di kalangan masyarakat bukan Islam terhadap umat Islam.

BERIKUT adalah ringkasan penjelasan Teo mengenai kejadian itu yang telah dipetik daripada THE MALAYSIAN INSIDER - portal berita online yang berwibawa.
Utusan Malaysia dan Umno telah memutarbelitkan apa sebenar yang berlaku dan akhbar itu tidak pernah menghubungi Teo untuk mendapatkan pandangan balas sebelum menyiarkan laporan yang berat dan sarat dengan sensitiviti kaum dan agama itu.
Tindakan Utusan Malaysia menerusi laporannya seolah-olah Teo sedang menyampaikan tazkirah kepada umat Islam adalah sesuatu yang di luar adab dan keji yang dilakukan oleh pengamal media kerana boleh membangkitkan sentimen di kalangan masyarakat majmuk.

Ekoran laporan tidak bertanggungjawab dan jijik dinilai pada kaca mata seorang wartawan, menyebabkan Sultan Selangor murka dan menitahkan supaya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengambilalih serta merta pengurusan surau berkenaan.

Menurut Teo, beberapa hari sebelum kejadian pihaknya menerima permohonan daripada jawatankuasa surau berkenaan memohon bantuan kewangan bagi kerja-kerja mengubahsuai dan pembaikan surau itu. Beliau tidak mempunyai bantahan dan berusaha menguruskan bantuan yang dipohon.

Apabila cek bantuan kewangan itu telah siap, Teo memaklumkan pihaknya telah menghubungi jawatankuasa surau bertanyakan bagaimana cara untuk menyerahkan cek itu. Jawatankuasa surau akhirnya menghantar jemputan kepada beliau untuk menyampaikan sumbangan bantuan itu di surau berkenaan.

Pada malam Ahad lalu, kira-kira jam 9.15 malam Teo tiba dan menunggu di luar surau berkenaan bagi memastikan kesemua jemaah surau sempurna melaksanakan solat mereka. Sebaik jemaah siap bersembahyang, beliau dijemput oleh jawatankuasa surau masuk bagi melakukan upacara yang dimaksudkan.

"Ketika itu saya ada bertanyakan mereka sama ada okay atau tidak kalau saya masuk ke surau. Mereka kata tiada masalah dan saya memenuhi undangan mereka," jelas Teo dan terus duduk bersama kumpulan jemaah wanita di dalam surau itu.

Apabila dijemput untuk memberi sepatah dua kata mengenai sumbangan itu, Teo tidak mengambil masa lama. Beliau hanya menyentuh soal bantuan dan sempat mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua yang hadir.

"Kemudian saya sentuh sikit fasal pinjaman yang disediakan oleh kerajaan negeri kepada pelajar yang layak ke universiti. Saya bercerita kerana ramai belum tahu mengenai pinjaman itu dan tarikh tutup permohonannya pula semakin dekat, iaitu Oktober depan. Saya minta semua yang hadir sampaikan berita mengenai pinjaman itu kepada keluarga yang lain.

"Tidak ada pada bila-bila masa saya bercakap fasal politik kerana saya berada di situ pun hanya untuk beberapa minit sahaja" katanya menjelas insiden yang diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia dan Umno.

Selesai sahaja berucap, Teo dipelawa oleh jawatankuasa surau berkenaan untuk menikmati juadah di luar surau sebelum pulang.
Daripada penjelasan yang diberikan oleh Teo ini, tentulah amat menyedihkan kita sebagai umat Islam membaca berita tohmahan yang jauh tersasar daripada makna dan tujuan sebenar seperti dilaporkan UTUSAN MALAYSIA sehingga menimbulkan pelbagai pandangan negatif terhadap Islam itu sendiri.

Semoga Allah memberi hidayah dan memberi pembelaan kepada mereka yang teraniaya.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10