nuffnang ads

Saturday, August 21, 2010

TASIK BUKIT KEPONG, KITA TUNGGU APA SEBENARNYA. KITA LIHAT FALSAFAH BERANI KERANA BENAR TERLAKSANA ATAU TIDAK!

"Kenapa kunci air itu dirobohkan?" Saya tanya berkali-kali. Penduduk yang saya temui itu pun membuka ceritanya.

 "Macam ni. Ada pegawai yang melawat masa kerja merobohkan tu kata, nak buat projek besar. Cukup besar. Boleh beri peluang kerja cukup banyak. Projek ni katanya, lebih kurang sama macam projek loji penapisan minyak.

"Tapi bukan loji minyak. Cuma projek ni libatkan negara luar sebab kita tak ada pakarnya lagi. Entahlah bang, ikut cakap pegawai tu, projek ni besar sangat. Sangat-sangat besar," jelas penduduk berdekatan sambil berharap kalau betul boleh beri peluang kerja yang banyak biarlah projek itu disegerakan.

Kemudian saya tanya lagi. ini projek kerajaan negeri ke? Lalu dijawab penduduk itu yang dia pun ada mendengar cerita, projek ini menteri besar yang lebih tahu. Cuma katanya, pelik sikit sebab kalau apa-apa projek pun nak dirancang dan dilaksanakan, tentulah ada sedikit sebanyak dipasang papan tanda atau diberi makluman.

Demikian serba sedikit cerita tentang Tasik Bukit Kepong yang semakin susut airnya itu yang keluar dari mulut penduduk. Bagi saya kalau benda yang baik eloklah, tapi kalau yang baik kenapalah pulak macam disorok-sorok.

Dan apabila Ahli Parlimen Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Mohd Abas, turun sendiri meredah belukar untuk sampai ke tasik itu meninjau keadaan sebenar, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak. Kita mahu ahli parlimen semacam ini. Yang suka bekerja dan bukan suka bercakap semata-mata. Dan saya tunggu sangat-sangat apa jawapan JPS. Saya tunggu sangat-sangat tentang cerita loji nuklear atau bukan. Saya tunggu betul. Betul-betul saya tunggu untuk mendengarnya. Terima kash YB atas usaha menjejak apa sebenarnya.

Saya mahu kepastian, sebab saya tahu tempua tak akan membuat sarangnya rendah kalau tidak ada apa-apa di situ. Paling penting saya mahu kejujuran daripada saudara menteri besar. Sama ada beliau mahu mengakui atau tidak bahawa beliau memang ada mencadangkan tapak itu sebagai cadangan tapak loji nuklear. Dan saya mahu lihat konsep apa yang saya hormati iaitu, berani berkata benar walaupun pahit diterjemahkan dalam jawapannya nanti. Sama ada dilepaskan tanggungjawab untuk memberi penjelasan kepada JPS atau dari mulutnya sendiri.

Di tasik itu, banyak nostalgia saya dan kawan-kawan. Di tasik itulah mendiang Datuk Im Peng dan keluarganya dulu-dulu menembak burung belibis dan saya di sebelahnya akan disuruhnya mengutip belibis yang jatuh. Di tasik itulah dulu saya dan kawan-kawan melihat dua ekor buaya berenang sebaris, betul-betul hanya 10 meter di depan kunci air yang dipecahkan. Dan di bawah kunci air itulah allahyarham pak Akob menembak seekor buaya yang hampir membaham seorang penduduk yang sedang leka memancing. Dan di situlah syurga udang galah dan baung yang kalau pintar boleh ditangkap menggunakan tangan. Dan ketika masih budak, di sepanjang tebing tasik itulah dulu askar Gurkha upahan Inggeris meronda-ronda memburu komunis, sekitar hujung 60-an!

Walaupun betapa manis memori dan nostalgiknya tasik itu kepada saya dan penduduk terdekat, pembangunan boleh dilaksanakan tetapi biarlah secara berterus-terang.

Lawatan YB Datuk Kamarul, memang relevan dengan perkembangan terkini tasik semulajadi itu. Walaupun kita akan melihat ada teka-teki dan permainan silang kata berkaitan cadangan pembinaan loji nuklear seperti saya maksudkan, kita tunggu!

Tentang lawatan kelmarin, pertamanya YB dapat melihat sendiri cara kunci air itu dirobohkan. Kedua, YB dapat melihat keadaan air di tasik itu sekarang. Ketiga, YB sendiri mengetahui akan kesan sampingan awal yang berlaku, iaitu banjir sukar dibendung akibat perbuatan merobohkan kunci air. Keempat, YB mendapat gambaran sebenar, lokasi tasik, jarak dengan kediaman penduduk, keluasan dan viabiliti struktur geografi tasik itu kalau dikaitkan dengan apa sahaja cadangan projek pada masa depan.

Sebagai anak jati Tasik Bukit Kepong, saya mahu sangat-sangat JPS memberitahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Dan alangkah manis dan indahnya kalau saudara menteri besar mengulas cerita sebenarnya. Jom, kita tunggu. Saya tunggu sama ada konsep berani kerana benar itu akan terlaksana!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10