nuffnang ads

Friday, August 27, 2010

SURAT TERBUKA UNTUK RAKYAT INDONESIA

TELAH BERBILION Ringgit Malaysia (bukan juta, puluh juta atau ratus juta) dikirimkan rakyat negara ini kepada Indonesia, setiap kali berlaku bencana. Setiap kali gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi, banjir besar dan apa sahaja mala petaka besar.  Telah banyak wang (UANG) rakyat negara ini dihantar sebagai tanda simpati. Dihantar juga perubatan, khemah dan peralatan. Dihantar juga sumber manusia secara langsung ke sana sehingga kadang kala dianggap oleh rakyat negara ini sebagai bantuan terlalu berlebih-lebihan. Malah rakyat negara ini turut mengirimi air mata sebagai mengongsi kesedihan. Dipaparkan iklan kesedihan rakyat serumpun di media cetak, media elektronik. Semua itu adalah gambaran hati dan nurani rakyat negara ini yang amat halus budinya membantu nasib saudara mereka di Indonesia. Disebutkan satu ketika Presiden Indonesia sendiri bergenang air matanya menerima bantuan sebegitu banyak melibatkan wang (Uang), harta dan simpati dari rakyat negara ini, khusus ketika berlakunya gempa dan tsunami besar yang menghancurkan daerah Acheh beberapa tahun lalu. Malah sektor koporat turut menyumbang menyediakan mesin dan peralatan selain tenaga kerja untuk membangunkan semula tanah yang telah menjadi padang jarak padang terkukur.

Begitu ramai menjadi mangsa. Anak-anak kehilangan ayah ibu dan saudara. Pun rakyat Malaysia masih belum puas membantu. Diambilnya sebegitu ramai anak-anak yatim piatu. Dibawanya ke Malaysia untuk diberi perlindungan dan kasih sayang. Diberi tempat tinggal dan makanan. Diberi juga pelajaran. Rakyat dan negara ini telah telah menjadi bapa angkat kepada mereka yang telah menjadi mangsa bencana. Rakyat dan negara ini sedar, tangisan dan penderitaan mereka juga bagai terasa menyeksa jiwa dan nubari kami. Maka kami rela dan dengan tulus dan ikhlas menawarkan bantuan dan segala yang termampu.

Itu belum sepenuhnya apa yang telah rakyat dan negara ini tawarkan. Kepada yang datang mencari rezeki di negara ini, dibuka sedemikian banyak peluang untuk berkongsi mencari sesuap nasi, walaupun kadang-kala tindakan itu sesekali menutup peluang rakyat sendiri. Pun di sebalik segala ruang yang diberikan, masih ada juga rakyat di sana datang ke sini membuka perniagaan seperti dilakukan oleh ribuan rakyat Acheh yang menguasai rangkaian kedai runcit di merata tempat, terutama di sekitar Lembah Klang. Kerajaan Malaysia walaupun ditegur, namun sering melonggarkan tindak, di atas rasa simpati dan kemanusiaan. Nyata rakyat di sini masih mempunyai perasaan dan pertimbangan yang didasarkan atas persaudaraan saudara serumpun.

Namun di sebaik kebaikan, masih ada juga yang datang membawa onar ke negara ini, menjadi pengedar dadah dan penyamun, yang mencuri dan merompak harta saudara mereka sendiri. Bilangan pengedar dadah dari Acheh bukan rahsia lagi terlalu besar bilangannya. Setakat ini 142 orang sedang menunggu hukuman mati kerana kesalahan dadah itu. Kesalahan kerana mengedar dadah di negara ini yang sudah tentulah bertujuan membawa maksud buruk menjahanamkan rakyat di sini. Pun rakyat Malaysia tidak bertindak memprotes membakar bendera Indonesia. Malah bilangan rakyat ndonesia di sini yang terlibat di dalam kes pembunuhan juga amat besar. Buktinya, sehingga kini 35 orang sedang menunggu hukuman mati kerana terlibat dalam kes bunuh. Itu belum dicampur jumlah mereka yang melakukan jenayah dan sedang dipenjarakan di Malaysia yang berjumlah 6,845 orang sehingga 12 Ogos lalu. Demikian, apa sebenarnya yang jarang terungkap! Malaysia membelanjakan tidak kurang RM2 juta sebulan untuk menanggung makan dan biaya penjara bagi 6,845 banduan rakyat Indonesia ini. Maknanya lebih RM24 juta wang (uang) negara terbazir demi mengongkosi belanja banduan rakyat negara Indonesia. Namun rakyat Malaysia tidak memprotes dengan memijak bendera Indonesia.

Kadang-kala kalau diukur dengan neraca pertimbangan yang waras, nampak benar Malaysia ini seperti kata pepatah. Menyusui kera di hutan, anak sendiri dibiarkan kelaparan. Maknanya, masih ada rakyat di negara ini yang belum terbela sepenuhnya oleh kerajaan mereka sendiri. Untuk pengetahuan saudara saya di sana, sekarang ini mahu melakukan pembedahan atau kos perubatan di hospital kerajaan juga meningkat ribuan ringgit. Ada rakyat negara ini, membiarkan ahli keluarga mereka mati daripada mendapatkan rawatan pembedahan kerana tidak kecukupan wang (uang). Namun di sebaliknya itu, rakyat Indonesia berhutang lebih RM3 juta di hospital kerajaan kerana melakukan pembelotan. Mereka mendapatkan rawatan, tapi selepas itu mereka melarikan diri tanpa membayar satu sen pun kepada hospital Malaysia yang didirikan atas cukai dan duit rakyatnya sendiri! Adakah ini bermaksud buruk sekali layanan Malaysia ke atas rakyat Indonesia di negara ini?

Cubalah saudaraku melapang sedikit dada, membiarkan fikiran tenang melihat kebaikan kami. Seburuk-buruk kami dalam melayan rakyat Indonesia yang datang ke sini, tidak pernah kami ludahi mereka. Tidak pernah kami pijak dan bakar bendera mereka, apatah lagi melontarkan najis manusia! Tindakan kamu di sana kini bukan lagi sebagai sesuatu yang amat buruk, tetapi adalah sesuatu yang amat keji dan penuh dengn penghinaan. Bendera tanda kedaulatan negara kami telah saudara perlakukan seperti tiada nilai! Saudara di sana tidak langsung memikirkan betapa kami bukan sahaja luka, tetapi menanggung hina yang teramat sangat. Kami tidak mahu melakukan perkara yang serupa seperti dilakukan oleh kamu di sana kerana kami diajar dalam sebuah negara yang harmoni untuk menjadi rakyat yang beradab. Tamadun Melayu kami di sini tidak membenarkan perkara-perkara luar sifat manusia dilakukan, semata-mata untuk mencari sebuah kepuasan!

Tohmahan konon Malaysia terlalu bongkak dan mahu berlaku seperti Orang Kaya baru (OKB) adalah terlalu sinis dan pedih. Jika benarlah dakwaan itu, rakyat dan negara ini akan mengamalkan sikap terlalu berkira dan berpilih apabila setiap kali Indonesia berdepan mala petaka. Kami tentunya akan menutup kedua-dua mata untuk menyalurkan sumbangan dan bantuan. Malah kami juga tidak akan menangisi penderitaan kamu! Sedar dan insaflah wahai rakyat Indonesia bahawa memang tiada sesiapa pun boleh menjadi sempurna di dalam dunia ini. Tetapi kami telah mencuba sebaik mungkin menjadi saudara dan jiran serumpun yang mengerti dan faham bagaimana untuk hidup aman dan berharmoni. Sayangnya sikap kamu berlainan benar caranya. Lihatlah kesungguhan polis (polisi) kamu dalam menangani protes yang dilakukan ke atas Kedutaan Besar kami di Jakarta. Membiarkan bendera negara jiran dipijak dan dibakar secara berulang-ulang menggambarkan itu satu cara izin dalam diam bagi setiap perlakuan yang biadab. Hal yang itu tidak mungkin berlaku di negara ini. Polis di sini akan menghumban rakyat negara ini kalau berbuat perkara yang kurang ajar seperti itu. Malaysia mendaulati undang-undang antarabangsa yang mesti menjaminkan kemuliaan negara lain tidak dicemar walau dengan apa cara sekalipun.

Ayuh rakyat Indonesia, bukalah mata minda kamu supaya kita tidak dilihat sebagai bangsa yang tidak bertamadun pada sisi penglihatan masayarakat kaum lain di peringkat dunia. Melayu Indonesia dan Melayu Malaysia seharusnya memiliki kehormatan yang amat tinggi dalam cara fikir dan kaedah tindak mereka menangani sesuatu dalam hidup ini. Jika ada yang tidak puas di hati, salurkan secara diplomasi dan permuafakatan. Biar kita berdiri di saf ini dalam baris yang rapat, bersentuh antara bahu ke bahu dengan penuh sepakat.

Maka selepas jelas dibukakan sebahagian daripada apa yang telah kami lakukan kepada saudara kami di Indonesia, kami berharap ia akan menjadi peringatan dan bacaan yang amat memberi makna terutama bagi mengelakkan adanya sikap berpatah arang nanti. Air dicincang tak mungkin putus, tapi perbuatan yang melukai kami, pedihnya tetap terasa. Kami mohon agar dihentikan segera perbuatan yang tidak bemaruah itu. Hiduplah dalam kesejagatan penuh adab dan norma hidup sebagai masyarakat yang bermaruah dan punya harga diri yang tinggi!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10