SEBAHAGIAN peminat Cut Tari yang terbabit dalam kes selingkuh dengan Ariel mencadangkan dia sekeluarga berpindah ke luar negara, kemungkinan ke Malaysia, sebagai salah satu cara untuk memulakan hidup baru, sekaligus menghindarkan dia dan suaminya terus tertekan dengan tohmahan peminatnya di Indonesia.
Ini jelas menampakkan Malaysia juga yang disebut sebagai antara negara pilihan yang tentunya mempunyai suasana yang aman dan damai buat bekas pengacara televisyen itu.
Peminatnya mengulas demikian selepas menyaksikan acara meluahkan perasaan oleh Cut Tari yang berlangsung di Pondok Laguna, Jakarta malam tadi yang turut dihadiri oleh ahli agama dan masyarakat sekitar.
Bekas pengacara infortainment itu dalam luahannya malam tadi juga yakin Allah akan mengampuni kesalahan yang dilakukannya kerana melakukan hubungan seks dengan Ariel sehingga rakaman perlakuan itu tersebar meluas dan memalukan dirinya.
"Saya terpaksa menerima kenyataan di atas segala yang telah berlaku dan saya serahkan kepada Allah untuk mengampuni saya," ujar isteri kepada Muhammad Jusof Soebrata itu.
Dia juga berharap kedatangan Ramadan kali ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai ibadat yang boleh membantu dirinya menguruskan emosi dan sebagai satu cabaran menghadapi rasa bersalah ekoran peristiwa hitamnya bersama Ariel.
"Puasa kali ini amat bermakna buat saya kerana ia mengajar saya mengawal emosi dan menuetralkan fikiran. Orang lain mungkin tidak tahu bagaimana saya berdepan cabaran ini, tetapi insyaAllah Tuhan akan memberi kekuatan untuk saya menghadapinya," tambah Cut Tari.
Walaupun mengakui terbabit dalam kes itu, berbanding Luna Maya yang masih menafikannya, Cut Tari tidak mustahil dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Indonesia. Untuk rekod, Ariel kini masih ditahan polis sementara menunggu kes mengenai perlakuan seks yang dirakam dan disebarkan itu dibicarakan di mahkamah.