nuffnang ads

Friday, August 20, 2010

SURAT TERBUKA KEPADA KETUA PENGARANG KUMPULAN UTUSAN MALAYSIA

SALAM. Dengan nama Allah Yang Maha Besar lagi Maha Mengasihani. Surat ini ditujukan kepada Ketua Pengarang Kumpulan, Utusan Malaysia.

Semoga saudara dilindungi Allah dan diberikanNya hidayah agar dapat mengetuai setiap urusan dalam menghasilkan akhbar setiap hari dengan sempurna. Semoga Allah juga memberi keberkatan kepada saudara dan kakitangan saudara dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Suka saya menarik perhatian saudara bahawa sejak kebelakangan ini akhbar Utusan Malaysia sering sahaja dikritik kerana dikatakan seolah-olah sengaja memainkan isu yang sensitif dan menerbitkan berita tertentu sehingga menggusar dan mengelirukan pembaca. Sebagai contoh diambil berita muka depan Utusan Malaysia terbaru yang memainkan isu mengenai isi kandungan khutbah di masjid di sekitar Pulau Pinang. Akhbar saudara memainkan isu berkenaan seolah-olah ia benar-benar berlaku dan rentak pemberitaan yang ditonjolkan seolah-olah mahu meletakkan kesalahan itu kepada umat Islam, orang Melayu dan kerajaan negeri berkenaan.

Akhbar saudara memetik beberapa ulasan daripada pemimpin Umno, seolah-olah juga kesalahan itu telah dan boleh sangat dibuktikan. Akibatnya, sentimen terutama emosi pembaca tersentak kerana terkeliru konon memang benarlah nama Ketua Menteri disebut-sebut di dalam khutbah berkenaan.

Pada masa yang sama, tentulah ia membabitkan juga nama DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Tuanku Mizan. Saya faham akhbar saudara mempunyak hak untuk melaporkan isu berkenaan dalam acuan dan gaya pemberitaan tersendiri, namun dalam hal-hal tertentu tidakkah saudara terfikir isu itu terlalu berat dan sensitif. Sementelah pula tidak dapat lagi disahkan kesahihan berita itu. Ingin dijelaskan, bagaimana perasaan saudara apabila membaca semula isu itu untuk kali kedua dan seterusnya. Terutama apabila meletakkan perasaan saudara di dalam perasaan mereka yang terlibat, Saudara, sebenarnya isu itu sarat dengan cela perkauman, cela agama dan cela ke atas darjat mulia DYMM Yang DiPertuan Agong Tuanku Mizan. Sepatutnya, pada fikiran saya saudara harus mempertimbangkan sehalus-halusnya isu berkenaan sebelum membuat keputusan menerbitkannya. Ini kerana di dalam isu itu hanya ada dua pilihan. Pertama benar dan keduanya tidak benar. Kalau benar, beruntunglah tetapi kalau tidak benar bagaimana?  Bagaimana kesannya?

Sudah tentu kerosakanlah yang terjadi kalau berita itu tidak betul. Kerosakan kepada perpaduan kaum, keharmonian beragama dan kemuliaan DYMM Yang DiPertuan Agong. Anekdot orang menggigit anjing dalam dunia kewartawanan seperti yang saudara sedia faham, bukanlah boleh dipakai untuk semua berita. Apatah lagi kalau hidup di dalam sebuah negara majmuk yang rencam bangsanya dan pelbagai agamanya.

Sebagai pengamal media berpengalaman, saya yakin saudara mempunyai tahap pertimbangan yang amat halus dan teliti dalam menerbitkan berita, khususnya pada muka depan akhbar yang saudara terbitkan. Berharap sangat saya kiranya saudara menggunakan segala sisi pertimbangan itu sebelum sesuatu isu melibatkan agama, kaum dan raja dijadikan bahan baca.

Pernah dulu akhbar saudara menerbitkan berita hampir serupa, konon seorang exco kerajaan negeri membuat salah laku dalam rukun khutbahnya ketika mengimamkan solat Jumaat. Malang dan sedihnya, berita itu terbukti tidak benar apabila pihak berkuasa sendiri mengesahkan ia tidak berlaku dan pemantau yang turut berada di dalam masjid turut mengesahkan khutbah Jumaat itu tiada cacat celanya.

Saya memohon dengan rendah diri termasuk menasihatkan diri saya, supaya pada masa depan semua yang terbabit dalam dunia kewartawanan bukan sahaja mengamalkan etika bersantun dan sesuai, tetapi turut menggunakan pertimbangan sehalus-halusnya dalam menerbitkan berita. Ini bagi mengelakkan ia memalukan orang Melayu dan Islam. Berpihak dan berpuak dibenarkan, tetapi ada batasnya.

Semoga saudara menerima teguran ini secara terbuka dengan hati lapang dan fikiran tenang. Salam. HAMID KARIM

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10