HAMPIR 40,000 pegawai dan kakitangan Maybank, bank terbesar di negara ini menerima khabar gembira apabila Ketua Pegawai Eksekutif bank itu, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, dikatakan telah mengumumkan umur persaraan kakitangan terbabit dinaikkan daripada 55 tahun kepada 57 tahun,
Serentak pengumuman itu, pegawai wanita bank itu juga tersenyum hingga ke telinga apabila turut dimaklumkan mengenai kelulusan cuti bersalin selama 90 hari berbanding 60 hari yang dinikmati sebelum ini.
Berita gembira itu difahamkan telah diemelkan sendiri kepada semua pegawai oleh Abdul Wahid sejak seminggu lalu.
Bagaimanapun, difahamkan, kakitangan yang ingin melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka sehingga 57 tahun dikehendaki menghantar permohonan mereka enam bulan sebelum tempoh persaraan 55 tahun mereka berakhir.
Maybank mempunyai lebih 400 cawangan di seluruh negara termasuk juga di Asia Tenggara selain beberapa pejabat di New York dan London. (Sumber: The Star)