SISWA DILETAKKAN DI DALAM KOTAK KACA. Matanya boleh melihat setiap yang berlaku di luar kotak itu tetapi dilarang memberi reaksi tentang apa yang dia rasa. Ini bermakna, siswa diberi pilihan untuk menggunakan laluan, tetapi laluan yang diberi adalah jalan sehala. Berpaling tak boleh, berpatah apatah lagi.
Namun secara peribadi saya mengucapkan tahniah kepada Shaifudin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Dia berdiri di luar kebiasaan ahli akademik dan ahli politik yang bersifat pro kerajaan. Mata Shaifudin dapat mengesan dalam terowong gelap yang dimasuki siswa hari ini, mereka mesti diberi peluang melihat cahaya.
Sebenarnya tiada apa pun alasan yang boleh menghalang siswa untuk dibenarkan menyertai siasah secara bebas. Tidak juga dengan menggunakan alasan kurang matang, seperti yang diluah-luahkan oleh Dr Ibrahim Shah, bekas naib canselor UiTM. Siswa juga mempunyai hak sama seperti rakyat lain, sama ada mereka yang duduk dalam dunia korporat, rakyat marhaen atau rakyat merempat. Hak mereka jelas. Apabila cukup umur mereka layak mengundi dan memilih parti yang mereka sokong.
Konon melihat siswa sebagai kurang matang, adalah satu persepsi yang maha sinis dan mengandungi ketidakupayaan seseorang pemimpin melihat dengan pandangan 360 darjah secara terbuka. Menggunakan neraca apakah, maka alasan kurang matang ini dijadikan alasan. Kematangan itu pula diukur menggunakan skala apa sebenarnya? Skala emosi atau apa? Dan seperti kata Shaifudin, kalau siswa tidak matang, bagaimana diukur kematangan siswa pasca siswajah yang ada di antara mereka adalah bekas pegawai kanan sektor swasta dan kerajaan?
Konon juga siswa akibat tidak matang boleh melakukan hal-hal di luar duga. Apakah ini benar? Menurut Ibrahim Shah, kalau dibenarkan berpolitik juga, haru biru jadinya dunia universiti. Ini maknanya dia memperakukan bahawa emosi dan fikiran siswa yang kebanyakannya telah melepasi paras remaja amat celaru dan mencelarukan. Maka orang politik tidak boleh berpegang kepada siswa ini kerana ketidakmatangan itu. Dalam kata lain, rantai yang mengikat kebebasan selama ini masih belum boleh dibuka. Tangan siswa dipakaikan gari dan lidah siswa dipotong pula. Jadilah siswa itu robot berwajah manusia. Dan barangkali Shaifudin simpati melihat senario ini. Cuma sedihnya menteri, Mohd Khaled Nordin dan kerajaan melihat keadaan itu tanpa rasa. Politik belum boleh dibenarkan diulas dan dikunyah sepenuh masa mengikut rasa dan fikir. Mengikut acuan yang siswa mahukan.
Baiklah siswa-siswa yang dihormati. Cuma sebagai insan yang bergelar pengejar ilmu, anda sebenarnya juga adalah pemburu bintang-bintang di langit luas. Sama ada anda mahu membenarkan diri diukir dan dibentuk mengikut acuan yang sama, Anda ada akal yang bestari untuk berkata ya atau tidak. Paling penting, jangan abaikan dunia ilmu ketika mengintai dunia siasah. Berjalanlah dengan akal panjang, melangkah laju dengan hati lapang dan fikiran tenang. Sama-sama renungkan.