DI JOHOR, MCA diarahkan supaya mempertingkatkan perang siber ke atas parti lawan. Mengakui taktik perang siber MCA negeri itu sebagai lemah, Chua Soi Lek memaksa pemimpin parti berkenaan di peringkat negeri menggandakan usaha. Katanya, perjuangan perang psikologi menerusi siber mesti dipertingkatkan seberapa segera demi berdepan pembangkang, menjelang pilihanraya umum ke 13. Bagi Chua, masa semakin tiada.
Persoalannya bolehkah ahli parti MCA mematuhi arahan itu, walaupun menyedari ia adalah datang daripada gesaan Datuk Seri Najib yang berharap parti komponen Barisan Nasional itu mengubah pendekatan daripada bertahan kepada taktik menyerang. Persoalannya sekali lagi. Bolehkah? Mampukah MCA menggunakan siber untuk menyerang pembangkang, sedangkan generasi muda dalam MCA sendiri enggan menerima parti itu dan mengambil pendekatan menyerang MCA menerusi siber juga. Apakah MCA banyak isu mahu diperjuangkan di Johor? Takut-takut tersilap isu, banyak pula benda yang sensitif bagi Chua Soi Lek dimasukkan nanti di dalam internet.
Hal sama berlaku di Selangor. UMNO mahu rakyat saling sampai menyampai tentang keburukan kerajaan sedia ada demi meraih sokongan menawan semula negeri itu menjelang PRU 13. Maka bertandanglah Khir Toyo dan Noh Omar menjaja tembakau dan menjual air liur. Siber juga nampaknya disaran digunakan, terutama menerusi blog untuk mempengaruhi rakyat menentang Pakatan Rakyat.
Dalam keadaan terdesak, semua komponen parti BN mula merancang itu ini, tetapi apa yang dirancang bagai membuka kain sendiri. Masuk gambar dalam internet, termasuk gambar keburukan sendiri. Ceramah burukkan parti lawan, isi ceramah memakan diri. Kini apa yang dilakukan oleh kompone BN memang serba tak menjadi.
Arahan menukar cara dari bertahan kepada menyerang adalah penukaran taktik bagi pihak yang mula berasa kekalahan akan menimpa. Dan itulah sebenarnya di sebalik setiap apa yang sedang UMNO atau MCA lakukan. Bimbang kalah, kini mereka terdesak menyerang, Namun mereka lupa menyerang juga memerlukan teknik dan taktik. Bukan menyerang secara gila babi atau secara orang sawan pasir. Silap-silap serang, sabit memotong leher sendiri. Seperti perlawanan bola, sebenarnya waktu permainan semakin tamat. Dalam keadaan ketinggalan gol, apalah yang boleh UMNO atau MCA lakukan kecuali menyepak dan menerajang pemain pasukan lawan. Akhirnya penonton pun bosan dan menyorak sambil menunjukkan dua jari ke atas!