PEGUAM V K Linggam dan dua bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Mohd Eusoff Chin berjaya dalam kes mereka di Mahkamah Rayuan semalam.
Namun di Klana Jaya, pejabat salah seorang saksi dalam kes melibatkan ketiga-tiga pengamal undang-undang itu, Loh Gwo-Burne, yang juga Ahli Parlimen Klana Jaya telah dipecah masuk kelmarin. Itu adalah kejadian pecah masuk kali kelima sejak tahun lalu.
Selain beberapa dokumen diselongkar dan sebuah komputer dirosakkan, wang RM100 dan bekas menyimpan wang derma turut dilarikan. Kejadian itu disedari oleh saudara lelaki ahli parlimen itu, Gordon kira-kira jam 2 petang.
Akhbar The Star memetik Loh sebagai berkata, pejabat khidmat rakyat miliknya itu telah lima kali dipecahmasuk sejak tahun lalu cuma peliknya dalam kesemua kejadian, tidak banyak barang yang dilarikan penceroboh.
Loh bagaimanapun, tidak mahu mengulas banyak sama ada kes itu ada kaitan dengan kes video klip V K Linggam yang didedahkan sebelum ini.
Pada masa yang sama Loh turut mendakwa, ayahnya memang ada menerima beberapa ugutan manakala Jayanti Naidu, setiausaha yang memberi keterangan dalam kes itu juga menerima ugutan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).