Antara marah, sedih dan terhina, saya lebih memilih perkataan terhina apabila mahu menjelaskan perasaan sendiri berdepan peri laku sekumpulan rakyat Indonesia yang menggelarkan diri mereka mewakili akronim BENDERA, sewaktu melempar najis ke bangunan kedutaan Malaysia di Jakarta, kelmarin.
Marah tidak perlu dalam keadaan begini kerana perbuatan yang dilakukan kumpulan itu jelas menggambarkan tindakan manusia yang tidak berotak atau manusia yang mempunyai otak tetapi otaknya telah tidak berfungsi. Sedih juga tidak terasa, kerana cara mereka bertindak juga menggambarkan peri laku kumpulan manusia yang sedang terbakar emosinya. Sebaliknya terhina. Inilah yang amat dirasakan apabila mereka melakukan perbuatan di luar ketamadunan manusia berakal secara berulang-ulang, dengan memijak bendera dan melempar najis atas alasan yang langsung tidak rasional.
Perbuatan keji yang biasanya dianuti oleh para binatang ini, tidak boleh dibiarkan berlangsung secara terus-terusan, sehingga boleh membakar jambatan kasih sayang antara dua negara yang serumpun. Kalau hanya mahu meluahkan protes di atas apa yang mereka katakan ketidakadilan yang sering dilakukan oleh Malaysia ke atas negara mereka, bukan begini jalannya. Ketidakadilan harus diimbangi dengan protes yang mempunyai nilai dan norma beradab mengikut lunas kemanusiaan. Apatah lagi di antara Malaysia dan Indonesia amat kukuh kesepakatan dalam menimbang dan berbincang hal-hal yang melibatkan kepentingan masing-masing.
Saluran diplomasi amat terbentang luas. Bukannya dengan memilih memijak bendera kita setiap kali ada sahaja bangkit perasaan tidak puas hati di kalangan mereka. Kalau itu neraca yang kumpulan kecil BENDERA gunakan untuk mencari penyelesaian atau untuk mendapatkan perhatian, maka rakyat di Malaysia juga boleh membuat pertimbangan menggunakan neraca yang sama. Soalnya, selesaikah masalah? Lunaskah segala ketidakpuasan? Dan paling utama, tidakkah kita berasa malu apabila manusia sejagat seluruh dunia memerhatikan betapa buruk dan jengkelnya peri laku luar tamadun manusia yang dinamakan Melayu itu?
Hal-hal yang menghina perasaan rakyat Malaysia ini bukan kali pertama berlaku, Ia satu perbuatan yang berulang-ulang walaupun didasarkan oleh ketidakpuasan terhadap isu sebesar hama. Ditambah pula oleh sikap mengapi-api yang dilakukan oleh segelintir pengamal media di Indonesia, barang tentu perbuatan luar tamadun seperti melempar najis dan memijak bendera amat sukar dihentikan. Sementelah pula, cara kawalan terhadap tindak-tanduk buruk kumpulan BENDERA itu seperti sukar dikawal oleh penguatkuasa undang-undang di negara jiran,
Saya terlalu hairan kenapakah kerana hal-hal yang sepatutnya diselesaikan oleh pemerintah harus dicampuri oleh kumpulan tidak bertamadun ini. Seolah-olah undang-undang dan peraturan sebenar, ada di tangan mereka bukannya di parlimen kedua-dua negara. Kalau begitulah caranya, cuba kita di Malaysia meniru sedikit cara mereka. Setiap kali ada rakyat Indonesia merompak di negara ini, bendera mereka dipijak. Setiap kali rakyat mereka di Lombok melarikan anak gadis Malaysia, kita lemparkan najis ke kedutaan mereka. Atau setiap kali rakyat Indonesia dikesan berniaga di negara ini, kita buat tindakan mengusir semua rakyat Indonesia yang lain. Bolehkah begitu?
Kini, saya merasai perasaan terhina oleh tingkah laku BENDERA terhadap rakyat di negara ini telah ada di kemuncaknya. Maka kerajaan kedua-dua negara tidak harus berlengah untuk duduk berdepan empat mata, meluahkan secara peribadi apa yang dirasai daripada semua tingkah laku tidak beradab kumpulan itu.
Sepatutnya menyedari Malaysia dan Indonesia datangnya dari rumpun serupa kita memunggah minda dan cara untuk mencari kebaikan memajukan rumpun nusantara ini. Bukannya dengan cara melontar najis atau memijak serta membakar bendera. Selagi tahap pemikiran kumpulan BENDERA ini tidak seiring dengan tahap perkembangan dan kemajuan global semasa, selagi itulah Indonesia akan terbeban oleh liabiliti untuk terus maju dan berjaya.