nuffnang ads

Sunday, August 15, 2010

DAH SUSUN JADUAL BALIK KAMPUNG?

HABIS berpuasa, InsyaAllah umat Islam akan merayakan Aidilfitri. Namanya pun raya, tentulah kemeriahan sahaja yang dikatakan orang sehingga kita terlupa bencana bagi keluarga yang mempunyai lebih seorang ibu. Perang raya dalam membuat jadual pulang ke kampung bagi suami yang mengamalkan poligami tentulah meletus kalau tidak diadilkan sebaik-baiknya jadual pulang raya itu.

Bagaimanapun, menyusun jadual pulang raya bukan sahaja berlaku kepada keluarga yang mempunyai lebih satu ibu atau si suami yang berpoligami. Ia juga melibatkan suami duda yang mempunyai anak berkahwin janda yang juga mempunyai anak. Anak-anak tiri kepada suami, tentulah teringin pulang ke kampung nenek ayah kandung mereka. Begitu juga, anak-anak tiri kepada si isteri juga mempunyai kemahuan untuk pulang ke kampung nenek ibu mereka. Kalau ini berlaku, tentulah penyusunan menjadi lebih rumit, terutama kepada pasangan yang mempunyai anak isteri yang ramai.

Bagaimanakah agaknya keluarga ini melakukan penyusunan jadual pulang raya ke kampung? Banyak benar kemahuan dan permintaan mahu diambilkira.

Sahabat saya yang berada dalam situasi ini mengakui setiap kali raya, fikirannya berkecamuk. Anak-anak isterinya dari perkahwinan terdahulu mahu pulang ke kampung ayah. Anak-anak sahabat saya dari perkahwinan terdahulu mahu pulang ke kampung ibu kandung mereka. Jadi sahabat saya mengakui, susah sedikit jadinya kalau duda ada anak berkahwin dengan janda ada anak.

Teringat sahabat saya, teringat tiba-tiba saya kepada Perdana Menteri kita, Datuk Seri Naib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor. Untuk rekod pasangan itu kini berada dalam perkahwinan yang kedua. Dulu Rosmah, bercerai dengan suaminya seorang eksekutif sebuah bank. Sementara Najib pula pernah berkahwin dengan Tengku Zainah Tengku Iskandar. 

 Dengan bekas suaminya, Rosmah mempunyai dua anak. Dengan bekas isterinya pula, Najib ada tiga anak, iaitu Mohd Nizar, Mohd Nazifudin dan Puteri Norlisa. Apabila Najib dan Rosmah berkahwin, mereka mendapat dua anak iaitu Mohd Norasham Najib dan Nooryana Najwa Najib.

 Kalau sahabat saya berdepan dengan penyusunan jadual pulang ke kampung setiap kali raya, tentunya Najib dan Rosmah juga menghadapi masalah serupa. Cumanya, kita tak tahu!


MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10