nuffnang ads

Monday, July 5, 2010

LESEN 'L' DAPATKAN DI SEKOLAH

Setiap tahun, kadar kemalangan jalan raya yang meningkat telah menjadi isu di kalangan pelbagai pihak. Rata-rata menuduh pemandu tidak kompeten. Rata-rata juga marahkan belia dan remaja tidak mempunyai lesen. Polemik sebegini terus berulang terutama setiap kali selepas perayaan. Jalan raya di negara ini dicop bak sungai mayat.

Ramai mengadu, mahal dan susahnya mendapatkan lesen 'L' atau Learner Driving Licence (LDL). Ada yang mengadu, institut memandu banyak kerenah. Ada yang pertikai ujian undang-undang berkomputer susah sangat. Dan ada yang rusuh hati memikirkan bila ada yang buta huruf boleh pula lulus.

Kerajaan bukan tidak nampak kesusahan rakyat ini. Bohong kalau tidak nampak masalah berlaku. Kalau tidak mana mungkin pernah dulu, kerajaan kata turunkan harga bagi mendapat lesen L. Ini bertujuan membantu rakyat miskin. Saya pun sokong juga tapi kadang-kala terfikir pula. Kata penunggang motosikal golongan miskin, tapi mak bapa sanggup pula belikan motosikal berharga RM4,000 -RM7,000 secara tunai. Peliknya, lesen yang cuma berapa ratus itu dikatanya tak mampu. Tak apalah, kita biarkan soal itu mati di situ.

Kini, kita mesti sokong supaya lesen 'L' boleh diperolehi di sekolah-sekolah. Maksudnya? Semua peringkat dan proses mendapatkan lesen itu dilakukan di sekolah. Contohnya, kursus KPP atau Kursus Pendidikan Pemandu, kemudian ujian undang-undang berkomputer dan akhirnya teori amali diadakan di sekolah dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ini tidak menjadi masalah kerana berbelas ribu pengajar dan penceramah memiliki SPIM dan Sijil Penceramah KPP ada di negara ini. Hantar seorang dua di sekolah-sekolah bagi melancarkan urusan itu.

Beberapa kelebihan boleh dinikmati oleh rakyat jika lesen L diperolehi di sekolah. Pertama, kosnya amat murah. Mungkin sekitar RM150 sahaja. Kedua, semua sekolah mempunyai makmal komputer dan semua komputer itu dimanfaatkan bagi tujuan menduduki ujian undang-undang. Ketiga, pelajar mempunyai tempoh paling kurang setahun untuk memperolehi lesen itu dan masa yang panjang juga mereka punyai untuk mengkaji dan memahami silibus berkenaan undang-undang di jalan raya.

Bagi menjadikan cadangan ini lebih molek dan cantik, sekolah mesti menubuhkan Kadet JPJ sebagai antara kokurikulum yang wajib. Menerusi kor kadet JPJ ini, pelajar akan didedahkan kepada latihan dan ceramah berterusan mengenai pemandu dan keselamatan jalan raya. Bayaran pula boleh dilakukan secara ansuran, iaitu mungkin 50 peratus dibayar sewaktu memulakan sesi persekolahan.

Perlu diingat kekompetenan pemanduan tidak hanya bermaksud kompeten di segi memandu atau menunggang, sebaliknya turut kompeten di segi kefahaman terhadap akta dan peraturan jalan raya. Dan sekolahlah tempatnya yang paling sesuai untuk memberi semua ini. Masa yang ada di institut memandu tidak mampu menjadikan mereka faham tentang peraturan. Sebab itu, jangan terkejut apabila ramai penunggang atau pemandu tidak akan berhenti apabila memasuki bulatan. Jangan hairan jika hon sentiasa berbunyi ketika di lampu isyarat kerana mereka tidak tahu pemandu boleh bergerak selepas 3 saat lampu hijau menyala!

Kerajaan perlu memainkan peranan proaktif dalam hal ini. Jangan hanya bising dan menyalak sana salah, sini salah. Kalau betul ada iltizam untuk membantu rakyat, buatlah seperti yang saya sarankan. Menswastakan lesen memandu selama ini kelihatan nampak lebih banyak buruk dari baiknya. Itu belum dicampur hal-hal bawah meja yang selalu diperkatakan.

Saya berani berkata, tahap kefahamam pemandu atau penunggang terhadap papan tanda atau peraturan jalan raya di negara ini rendah kerana kita tidak berani membuat satu tindakan menyekolahkan mereka di sekolah yang betul! Bayangkan, tanda "E" pada tolok minyak dikatakan "empty"?!!! Tanda E itu sebenarnya bermakna Enough, iaitu pemandu harus beringat bahawa bahan bakar di dalam tangki hanya cukup untuk jarak tertentu. Maka, bersedialah untuk mencari stesyen minyak. Tetapi sekarang, kebanyakan menyifatkan E itu sebagai empty. Logiknya, kalau empty atau kosong, kenderaan tidak boleh digerakkan kerana minyak telah tiada!

Beranikah kerajaan menyahut cabaran ini? Menyahut cabaran supaya L diperolehi di sekolah dan institut memandu hanya mengendalikan latihan memandu dan ujian sahaja. Sokonglah kalau benar ini membawa kebaikan. Jangan hanya sokong yang membawa keuntungan kepada pihak tertentu sahaja.

DEBUS-DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Kalau cikgu sekolah rendah tak ajar murid sehingga faham membaca, lebih-lebih anak murid hanya buta huruf. Tapi kalau cikgu memandu tak ajar anak murid memandu betul, ramai terkorban. Banyak nyawa melayang.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10