nuffnang ads

Friday, July 9, 2010

DESAS-DESUS EKONOMI MELESET; SUDAHKAH KITA BERSEDIA

Kemelesetan ekonomi tidak mustahil akan melanda negara ini. Ini bukan untuk menakutkan semua, tetapi sekadar mengingatkan bahawa musim-musim sulit boleh datang bila-bila masa sahaja. Ini kerana ada tanda-tanda berlakunya kemelesetan ekonomi di Eropah dan tidak mustahil ia akan mempengaruhi ekonomi di dalam negara.

Kebimbangan ini mengingatkan saya pada kata-kata dan bebelan Seman, kawan saya yang sering sawan apabila bercerita produk pertanian dalam negara seperti gula. Nampaknya, semakin kita tidak belajar daripada pengalaman lampau, semakin kita akan menderita menyeksa diri apabila berlaku kemelesetan nanti.

Desas desus yang diperkatakan oleh beberapa ahli ekonomi kebelakangan ini turut mendapat perhatian Tun Dr Mahathir yang secara jujur tidak menolak ekonomi negara mungkin meleset jika kemelesetan yang sama melanda Eropah. Malah Mahathir sendiri dipetik Berita Harian berkata, walaupun kerajaan menyediakan pelbagai pelan ekonomi termasuk Model Ekonomi Baru (MEB), adalah sukar untuk meramalkan apa yang berlaku pada masa depan.

Selasa lalu juga, Najib dipetik berkata kemungkinan akan berlaku kemelsetan pada separuh kedua tahun ini berikutan faktor luaran.

Nah. Sama-sama fikirkan. Apabila ekonomi meleset, rakyat tersepit. Apabila rakyat tersepit, mereka menjerit. Apakah kerajaan masih menunggu? Bila lagi kita mahu punggah kekuatan ekonomi dalaman dengan menyediakan bekal makanan dan keperluan mencukupi untuk rakyat? Tanah kita subur dan masih luas terbentang, bak kata Seman yang tak sekolah itu. masihkah kita mahu menderita seperti dulu-dulu, setiap kali kemelesetan berlaku dengan kenaikan harga barangan keperluan?

Rakyat tak mengharapkan apa-apa apabila berlaku kemelesetan. Paling penting bagi mereka, keperluan asas seperti gula, beras, minyak masak dan tepung mesti ada. Dan kalau ada pula apakah ada jaminan barangan itu tidak dinaikkan harga sedangkan kemelesetan umpama petaka yang merosakkan segala yang ada.

Ayuh. Jangan lagi bercerita soal objektif ekonomi atau sistem ekonomi abstrak yang tak difahami rakyat. Rakyat mahu perut mereka diisi walaupun akan berlaku kekeringan kantung dan saku. Apabila kemelesetan berlaku, perkara pertama yang kerajaan mesti buat ialah meringankan beban rakyat. Meringankan beban rakyat tak perlu dengan memberi subsidi tetapi cukup dengan turun padang mengerahkan agensi berkaitan bersama rakyat menerangkan hutan, menjadikan ia "kilang-kilang" produk pertanian. Bersedialah untuk musim-musim sukar itu. Rakyat tak akan mendapat gula dan beras dengan mudah kalau kerja tiada, pendapatan rendah dan segala urusan ekonomi terjejas. Mereka hanya akan dapat semua keperluan itu kalau mulai sekarang kerajaan memberi tumpuan dan galakan untuk hasilkan produk bagi keperluan di tanah makmur ini. Kita tak perlu meminjam dari Bank Dunia untuk menyewa tanah. Allah telah pinjamkan sekian lama tanah untuk kita, tetapi kita biarkan dan kalau diusahakan, hanya ala kadar sahaja.

Janganlah hanya melihat dan bercerita soal langit dan angkasa, sebab rumput-rumput di bumi sedang kekeringan dan kalau kemarau berlaku lagi semakin kontanglah bumi ini. Maknanya semakin menderitalah rakyat.

Ayuh. Jangan kita lupa untuk kembali berhempas-pulas menghasilkan produk makanan sendiri seberapa banyak untuk bekal ketika ekonomi kita dihenyak bencana nanti. Jangan terlalu bergantung kepada perangai suka mengimport barangan keperluan macamlah kita ini kaya sangat. Lainlah kalau negara yang tanahnya tidak subur. Bermuhasabahlah. Tuhan sentiasa ada memerhatikan kita, sama ada kita bersyukur, lupa diri atau gagal menjaga amanah yang diberikan ini.

DEBUS DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Sepatutnya kita telah lama kaya sebagai negara pertanian. Selepas itu barulah kita bertambah kaya oleh sektor perindustrian.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10