nuffnang ads

Monday, July 5, 2010

BALASUNGKAWA; TUN OMAR ONG YOKE LIN

Beliau baru sahaja kembali ke Rahmatullah, namun ingatan dan kenangan manis pernah bersama allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin, satu ketika dulu membuat saya sayu dan hiba.

Allahyarham seorang yang amat berhemah, lemah-lembut dan bersopan. Malah sifatnya yang suka mengorhormati tetamu atau sesiapa saja memberi kesan mendalam dalam hidup saya.

Satu ketika, di bilik khasnya yang diberitahu kepada saya sebagai bilik allahyarham menjalankan tugas, saya ditunjukkan sebuah buku. Allahyarham berkata, buku itu buku yang amat disayanginya dan selalu sangat dia membacanya. Judul buku itu ialah LOOKING BACK himpunan tulisan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman di dalam akhbar The Star. Buku itu diterbit dalam edisi pertama pada tahun 1977 dan diterbitkan oleh Pustaka Antara.

Buku itu kata allahyarham, dihadiahkan khas kepadanya oleh Tunku sebagai mengenang jasa allahyarham terbabit dalam penubuhan perikatan UMNO-MCA pada 1952 bersama Datuk Yahya. Sebagai membuktikan bahawa buku itu sering dibacanya, allahyarham menunjukkan saya 'paper clip' yang menjadi penanda pada bab tertentu. Dan pada muka surat 180 buku berkenaan, allahyarham menggariskan satu garisan berdakwat hitam menunjukkan baris-baris ayat tulisan tunku yang meninggalkan kesan dalam hidupnya.

Entah bagaimana. Walaupun buku itu amat disayanginya, allahyarham sebelum saya pulang telah menghadiahkannya kepada saya. Malah pada bahagian dalam belakang kulit buku berkenaan allahyarham menuliskan sesuatu dan siap ditandatanganinya. Saya masih ingat kata allahyarham ketika itu." Saya hadiahkan buku ini kepada Hamid. Saya sayang buku ini."

Antara yang ditulis allahyarham pada buku itu berbunyi begini: Kepada: En. hamid Karim. Dengan Ingatan Tulus Ikhlas. Diikuti tandatangannya. 21/5/96. 2 Muharram 1417.

Hampir menitis air mata saya ketika itu kerana seorang negarawan sanggup menghadiahkan buku kesayangannya (buku hadiah daripada Tunku) kepada saya, seorang rakyat biasa. Sehingga kini saya terus menyimpan dan membacanya. Dan seminggu sebelum allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin kembali ke rahmatullah, peliknya saya membaca buku itu hampir setiap hari. Apakah ini tanda-tanda tertentu atau kebetulan. Hanya Allah Maha Mengetahui.

DEBUS-DEBUS SINGALAUT MEMBELAH OMBAK: Semoga Allah mencucuri rahmatNya dan ditempatkan roh Allahyarham di sisi mereka yang beriman. Amin.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10