MENGIKUT beberapa maklumat daripada mereka yang telah berada di Sarawak, senario pilihanraya kali ini jauh berbeza sama sekali dengan pilihanraya sebelum ini.
Beberapa kawasan yang sebelum ini duduk tenang bersimpul malu bagai perawan kampung, telah bertukar menjadi zon bebas cukai! Pengundi mulai semakin terbuka meluahkan sokongan kepada parti pembangkang.
Di kalangan kawasan yang menjadi deposit selamat BN selama ini dikatakan juga, angin perubahan mulai bertiup kencang. Slogan mahukan perubahan menurut empunya mulut bagai lagu-lagu yang semakin enak berkumandang.
Kata kawan-kawan, rumit dan sulit kali ini. Sengit pertandingan kali ini buat Tan Sri Abdul Taib Mahmud, apatah lagi bloggers dan laman siber yang memihak pembangkang terbukti bekerja keras.
Menurut kawan yang lain, walaupun hanya tinggal beberapa hari lagi, tidak mungkin Sarawak boleh selamat menjadi negeri deposit yang selamat buat BN. Maksud kawan itu, pilihanraya kali ini macam manusia disambar buaya. Kalau tak dapat dibawa ke dasar sungai, paling tidak kaki, tangan atau kepala akan hilang kali ini!