nuffnang ads

Friday, April 1, 2011

MAAF: AKHIRNYA AKU JADI PEMBUNUH SELEPAS ENGKAU TERUS MENCABAR


Dalam tempoh seminggu, setiap kali menjelang senja seekor ular sawa masih muda, sebesar lengan sentiasa memanjat cermin tingkap dapurku. Jeriji tingkap dapur tak ubah seperti peralatan gimnastik untuk latihan bergayut.

Sekali memanjat kubiarkan. Dua kali memanjat kubiarkan. Tiga kali memanjat kuusir engkau jauh-jauh. Kusangka engkau faham dan tidak lagi memanjat tingkap dan dinding dapur rumahku. Rupanya tidak. Selang sehari selepas kuusir, engkau datang lagi memanjat tingkap dan dinding yang sama, kemudian berlingkar di lubang angin, seolah-olah ia telah menjadi kamar sewamu.

Esoknya, engkau datang lagi. Memanjat lagi. Lusanya datang, lagi dan memanjat lagi. Kuusir juga seperti setiap kali kedatangan engkau sebelum ini.

Namun satu senja aku hilang sabar apabila masih tidak faham-faham. Selepas kutanya, apa yang engkau mahu memanjat rumahku setiap senja, aku pun membuat keputusan. Kuusir engkau dengan sebatang tongkat rotan panjang sedepa. Aku tidak memukulmu. Aku hanya mengusirmu!

Kusangka engkau faham kenapa aku menggunakan tongkat rotan itu untuk mengusirmu. Rupanya engkau memang tidak pernah faham, apatah lagi banyak kejadian ganjil berlaku sebelum ini di sekitar rumahku!

Aku sangka engkau akan pergi jauh, rupanya tidak. Engkau sanggup menyusur keliling rumahku dan akhirnya berlingkar seolah-olah angkuh di bawah kerusi tempat duduk biasaku di beranda rumah.

Hampir sahja kakiku engkau gigit. Syukur selepas bangun dari duduk aku terpandangkan engkau sedang berlingkar dalam keadaan sedia untuk mematuk!

Ketika itu aku usir engkau menggunakan rotan bersama anakku. Engkau masih berdegil, masih mahu memanjat dinding rumah di beranda pula, sedangkan dinding itu simen dan tidak mempunyai jeriji untuk engkau membelit naik!

Maka apabila kedegilan engkau amat luar biasa, tidak seperti kebanyakan ular yang akan pergi apabila diusir, aku tidak mempunyai pilihan.

Praaaaappp! Empat lima kali hayun, engkau pun pergi ke negeri jauh! Aku meminta maaf kerana jadi pembunuh, tapi aku tidak mahu menanggung risiko terutama kalau-kalau engkau mencuri masuk dan melingkar di sebelah tidurku pada sebelah malam!

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10