DICAKAP marah, disindir bengang. Hakikatnya bangsa Melayu menjadi bangsa yang semakin bodoh. Hanya kerana politik dan kuasa, bangsa Melayu bagai orang hilang pedoman. Atau lebih jelas lagi, bagai orang mabuk - hilang tujuan, arah dan haluan.
Tanpa sedar ketika bercakaran sesama Melayu, anak-anak Melayu tercicir di belakang. Kalau ada yang mengikut pun, menjadi tukang sorak dan tukang gelak. Mereka tanpa sedar bagai hilang akal menyorak dan menggelak bangsa sendiri.
Yang salah dikatakan betul. Yang betul dikatakan salah. Bangsa Melayu seperti keliru. Berebut kuasa dan politik bagai khinzir menyodok sana-sini, tanpa sedar ekonomi bangsa sendiri masih tercicir. Pendidikan tercicir, agama pun tercicir.
Maaf cakaplah. Orang Melayu bawahan kebelakangan ini telah banyak bersuara. Mereka banyak mengata bangsa sendiri memang seperti bangsa yang bodoh. Kadang-kala kalau lama didengar, marah pula rasa hati disindir dan dimaki sedemikian hina. Tapi bolehkah disangkal pandangan mereka sepenuhnya?
Politik telah menjadi keutamaan segala-galanya bagi bangsa Melayu kebelakangan ini. Pemimpin bagai hilang suara untuk menegah anak-anak yang dipimpin supaya tidak melangkau batas, hanya kerana berjuang untuk politik. Kononnya!
Yang melakukan maksiat dipuja, yang lurus disingkir. Yang rasuah menghisap darah bangsa sendiri disanjung, yang menjadi jarum mencucuk sentiasa dibersihkan karatnya!
1957 kita merdeka. Telah merdekakah bangsa bernama Melayu? Hidup merangkak dari menumpang kekuatan pada kanji ubi kayu sehinggalah cuba berlari selepas berpeluang memakan nasi, masih tidak betul larinya. Melayu berlari jatuh dan bangun. Malangnya ketika berlari, Melayu banyak jatuh daripada bangun!
Ketika bangsa lain yang berkongsi hidup dengan bangsa Melayu di tanah makmur ini senang lenang menghirup madu setiap hari, kita terlupa majoriti Melayu masih meneguk kopi pahit. Kalau ada pun yang meneguk kopi bergula, hanya segelintir. Ini pun tidak mahu diakui oleh Melayu, khususnya oleh pemimpin Melayu!
Hal yang orang Melayu suka sangat adalah bercerita dan bertekak fasal politik. Konon politik akan memberi kuasa dan kuasa akan menjamin bangsa. Realitinya bukankah selama ini Melayu telah diberi kuasa untuk berkuasa. Namun sejauh mana kuasa itu menjamin gah dan bangga bangsa yang bergelar Melayu ini?
Sudah-sudahlah Melayu. Baliklah ke pangkal jalan. Melayu di sebelah kanankah, Melayu di sebelah kirikah, bukan arah duduk kita yang penting ketika ini. Tetapi maruah keseluruhahn bangsa kita yang paling utama. Apa guna Melayu tertawa, kalau banyak lagi Melayu menangis. Apa guna Melayu menang, kalau banyak lagi Melayu yang kalah!