nuffnang ads

Tuesday, April 5, 2011

ENCIK KURNIA INSURAN TAK TERIMA MOTOSIKAL BERUSIA 12 TAHUN


SEBUAH motosikal kesayangan hari ini berusia 12 tahun. Maka untuk menjadikan ia sah berada di jalan raya di negara ini, terutama kerana ia digunakan seorang anak lelaki untuk bekerja sambilan sementara menunggu keputusan kemasukan IPT, maka insuran dan cukai jalannya pun diperbaharui.

Tiba di pejabat pos, encik kerani pun dengan lapang dada membantu. Lepas 10 minit, muka encik kerani berkerut. Dengan penuh sopan encik kerani memberitahu bahawa encik Kurnia Insurans tidak dapat menerima pembaharuan insuran motosikal itu kerana telah masuk tahun ke 12.

Saya terkejut. Sekarang bukan macam dulu-dulu. Motosikal itu pun diinsurankan first party sejak sekian lama. Sebelum-sebelum ini pun insurannya diperbaharui menerusi syarikat encik Kurnia Insuran. Saya terdiam. Saya beritahu encik kerani macam mana agaknya kalau tak boleh diperbaharui, sedangkan motosikalnya tip top tip dan tip tip, top top!

Encik kerani pejabat pos pun anggukkan kepalanya sambil meminta saya bersabar seketika. Tekun dia menelusuri beberapa syarikat insuran lain. Akhirnya Allianz, sebuah syarikat insuran bersedia menerima pembaharuan insuran motosikal itu.

TERIMA KASIH encik kerani dan terima kasih Syarikat ALLIANZ. Encik Allianz memang wajar diberi pujian kerana memahami keadaan ini. TERIMA KASIH SYARIKAT encik ALLIANZ, sebuah syarikat insurans yang berlapang dada.

Dalam keadaan itu saya tertanya-tanya kenapalah encik Kurnia enggan menerima pembaharuan selepas 12 tahun. Tidakkah encik Kurnia mengenang betapa kasih sayang kita saling memberi dan menerima insuranssejak sebelum ini. Selepas 12 tahun, kami pun bercerai dengan talak tiga. Tak apalah encik Kurnia. Mungkin encik Kurnia ada alasan. Saya ucapkan terima kasih sajalah kepada encik Kurnia.

Kini saya mahu menyatakan sesuatu kepada encik Perdana Menteri kita pula. Wahai encik Perdana menteri yang bijaksana, hamba merayu kaji dan lihatlah masalah yang sedang berlaku melibatkan insuran kenderaan sejak akhir-akhir ini.

Tolonglah encik Perdana Menteri. Motosikal hamba yang berusia 12 tahun itu nasib baik masih boleh diterima oleh syarikat Allianz untuk diinsuranskan. Jika tidak, berkuburlah motosikal itu tidak boleh berada secara sah di jalan raya.

Kasihanilah kami wahai encik Perdana Menteri. Kalau hamba orang berada, hamba akan simpan motosikal itu di dalam stor dan bangkainya biar luluh ditelan zaman. Sayangnya, hamba orang miskin. Hamba amat memerlukan insurans untuk menggunakan motosikal berusia 12 tahun itu. Dan encik Perdana menteri yang hamba muliakan, bukan hamba seorang sahaja berdepan masalah itu. Ribuan orang miskin seperti hamba berdepan kerenah insurans sejak kebelakangan ini.

Wahai encik Perdana menteri yang bestari, kasihanilah orang miskin seperti hamba ini. Orang miskin seperti pelajar IPTA yang menggunakan motosikal lama turun termurun milik keluarga. Begitu juga penoreh getah, petani dan nelayan. Sudahlah insuransnya meningkat harga berganda-ganda, ada pula tarikh luput untuk memperbaharui insuransnya.

Maafkan hamba wahai encik Perdana Menteri. Ketika kita sibuk mentranformasikan ekonomi, hamba merayu dengan rendah diri tolonglah transformasikan banyak perkara dalam negara tercinta ini, termasuklah kemelut insurans yang sering membuat orang miskin menangis meratap diri.

Ampun maaf encik Perdana Menteri. Terima kasih Allianz! Berniaga bukan sekadar untuk mencari keuntungan, tetapi menjadi jalan untuk menabur bakti kepada orang lain. Terima kasih.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10