SESEKALI boleh disamakan perlawanan politik dengan siaran gusti yang agendanya kita tahu lebih besar dari semata-mata hanya untuk hiburan.
Sesiapa yang menonton rancangan gusti tentu sudah masak dan lali dengan kerenah pengadil yang kadang-kala ditampilkan membawa watak manusia yang tidak adil sama sekali. Bila lawan sudah tumbang dan ditindan, punyalah lambat mahu mengira satu sampai tiga. Semuanya kerana pengadil adalah pro dan memihak kepada penggusti tertentu.
Penonton akan geram. Emosi penonton akan diusik dan diguris dengan sikap ketidakadilan. Tapi mahu diapakan. Ia adalah perlawanan yang diatur dan ditontonkan untuk duit dan duit dan duit. Namun lama kelamaan, penonton akan masak dengan kerenah yang dipaparkan menerusi gusti ini. Penonton akan meluat dan akhirnya, penonton tidak lagi menjadi ketagih menonton siaran gusti yang memaparkan aksi pengadil yang tidak adil.
Berbalik kepada politik. Ayuh Barisan Nasional. Kita buktikan kata-kata dan dakwaan bahawa BN mengamalkan rasuah setiap kali menjelang piliharaya adalah tidak benar dan tidak berlaku lagi. Janji pembangunan dengan memberikan peruntukan kewangan begitu besar kita hentikan sahaja. Mari kita jadi bersih dan kelihatan bersih dalam soal ini. Kita hentikan janji pembangunan menjelang pilihanraya dan kita adakan pembangunan di luar waktu pilihanraya. Kita bina jalan jauh dari tempoh pilihanraya akan diadakan. Kita bina sekolah, kita naikkan elaun, kita bagi macam-macam kepada rakyat daripada duit yang kita dapat daripada cukai rakyat tanpa mengira parti itu ketika pilihanraya tidak diadakan. Maka, kita akan berjaya menutup tohmahan bahawa BN mengamalkan rasuah menjelang pilihanraya.
Mari kita wujudkan satu suasana bertanding dalam keadaan yang amat 'gentle'. Kita tidak mahu dilihat seperti pertandingan tinju yang tidak adil pula. Peninju kita bertanding tanpa 'glove' manakala lawan kita terpaksa memakai glove. Peninju kita bebas, tetapi peninju lawan kita ikat dan gari tangan mereka.
Ayuh BN. Sebenarnya kita kuat. Kita tunjukkan kekuatan secara gentle. Kita hentikan janji pembangunan begitu ketara menjelang pilihanraya. Kenapa? SEBAB SEBUAH KERAJAAN YANG KUAT TIDAK PERLU MENJANJIKAN APA-APA MENJELANG PILIHANRAYA. SEBUAH KERAJAAN YANG KUAT AKAN DISOKONG OLEH RAKYAT WALAUPUN KITA TIDAK MENJANJIKAN PERUNTUKAN BERBILION RINGGIT. KEKUATAN KITA DILIHAT OLEH RAKYAT MENERUSI APA YANG TELAH KITA BUAT. Rakyat akan memandang rekod kita dan bukannya janji-janji peruntukan melibatkan wang ringgit. Ayuh BN. Kita tutup mulut pembangkang dan kita buktikan bahawa kita bersedia bertanding secara terbuka. Kekuatan kita adalah apa yang telah kita buat selama berpuluh tahun memerintah. Ayuh BN. Jangan takut atau bimbang. Kali ini jangan kita janjikan peruntukan macam-macam menjelang pilihanraya. Kemenangan kita nanti tentu amat bermakna dan tidak disaluti dengan tohmahan pembangkang. Selamat berpilihanraya walaupun PASTI sangat pilihanraya umum tidak MUNGKIN diadakan tahun ini.