TIDAK kiralah siapa nama Melayu itu. Sama ada nama Melayu itu Abdullah, Dollah, Rahim, Anuar, Mohamad, Salim, Najib, Aziz atau Hadi. Semua bernama Melayu itu adalah dipercayai sememangnya berketurunan Melayu dan harus melihat apa yang sedang menimpa kaum Melayu di negara 'MelayuRugi' (Malaysia) ini sebagai sesuatu yang serius.
Politik sahaja tidak cukup untuk meletakkan orang Melayu sempurna sebagai bangsa yang bermaruah. Agama sahaja juga tidak cukup jika tidak dengan berpelajaran dan berakal. Duit juga tidak cukup kalau tidak dengan budi. Melayu harus merangkumi bangsa yang bermaruah, berhemah, tidak busuk hati dan sentiasa dipagar iman menerusi pegangan agama mereka.
Kerosakan demi kerosakan pada bangsa Melayu sedang berlaku di negara kita. Ia adalah kesinambungan daripada kerosakan yang telah berlaku dan menjadi ikutan pada kerosakan yang akan berlaku. Melayu menibai Melayu. Melayu mengapak Melayu. Melayu membodohkan Melayu. Melayu membunuh Melayu. Melayu sedang bercakaran dengan Melayu untuk merebut apa yang kita panggil kek kepuasan dan kepentingan sendiri.
Orang Melayu majoriti yang masih lurus, masih patuh, masih rasional dan orang Melayu yang cerdik dan bodoh sedang melihat semua ini dengan pandangan dan rasa yang pelbagai.
Mereka melihat sebuah kemusnahan bangsa sedang berlangsung. Kemusnahan yang sering sahaja diberikan pelbagai alasan yang sesetengahnya masuk akal, manakala sesetengahnya lagi di luar akal dan waima haiwan sendiri tidak mengerti terhadap sesetengah alasan yang diberi kenapa kemusnahan atau proses memusnahkan bangsa itu harus berlaku.
Yang dimaksudkan kemusnahan ini bukan pembunuhan bangsa, tetapi adalah pengkuburan dan pengkebumian bangsa bersama keturunan Melayu akan datang menerusi tindak tanduk yang dilakukan pihak-pihak yang bersifat haiwan menerusi cabang politik, ekonomi dan agama!
Kita usah melihat semua ini dari sisi politik, sebab busuk politik semakin melantung. Lihatlah segala yang berlaku ini dari sudut manusia dan kemanusiaan Melayu dan Islam.
Apakah kita bersedia untuk menerima akibat perbuatan kita hari ini yang terus-terusan di antaranya di luar batas, sehingga memaksa anak cucu kita yang akan datang membuang air kecil di atas kubur kita?
Jalan lurus yang dibentangkan datuk moyang Melayu kita sejak dulu telah semakin bengkok pada hari ini. Jalan yang direntas daripada belukar perjuangan untuk memartabatkan bangsa Melayu di negara ini sejak dulu telah kelihatan semakin berliku-liku. Orang Melayu sesama Melayu yang pastinya mahu mengaku Islam, tidak lagi patuh pada peraturan jalan sehala! Kita sedang berkecamuk dalam aliran perjalanan yang kelam kabut, sesetengahnya menentang arus. Sesetengahnya mengikut papan tanda perjalanan.
Apa yang kita perjuangkan hari ini sebenarnya? Apa sebenarnya? Untuk tembolokkah atau untuk bangsa dan keturunan kita?
Percayalah, kalau keadaan ini berterusan, Melayu dan Islam khususnya akan hancur. Negara yang dibina konon untuk menjadi pohon rimbun meneduhkan rakyatnya selepas dijajah akan berubah menjadi neraka. Kembalilah Melayu. Kembalilah Islam untuk hidup berperaturan dan berhukum. Percayalah, Melayu akan hancur kerana Melayu.