JIKA Barisan Nasional (BN) mahu memastikan mereka menemui jalan mudah untuk mencapai kemenangan pada pilihanraya negeri ke 10 kali ini, salah satu perkara yang mesti mereka berikan perhatian ialah perang siber yang sedang hebat berlangsung.
Serangan blogger dan laman web pro Pakatan ke atas kepemimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, terutama pendedahan oleh Sarawakreport tentang penyalahgunaan kuasa serta perampokan hasil hutan tidak boleh dipandang ringan.
BN khususnya Abdul Taib sendiri mesti melihat, serangan ala tembakan Tomahawk yang dibedil oleh laman Sarawakreport sebagai sesuatu yang mesti ditangkis dan ditepis, apatah lagi melihat laman siber berkenaan menyiarkan laporan secara penyiasatan yang boleh dianggap mendalam dan teliti. Laporan web pro Pakatan itu bukan sekadar tulisan kosong tetapi disertakan bersama data dan maklumat amat menyakinkan yang sebahagian besar diperolehi menerusi sumber yang boleh dianggap tidak meragukan.
Tanpa mahu menyentuh tentang ketulenan maklumat yang diperolehi oleh laman maya itu, kita melihat serangan siber atau perang saraf menggunakan maya menjelang pilihanraya kali ini sesuatu yang hebat dan kelihatan teratur.
Mahu atau tidak, BN tidak mempunyai pilihan menerusi soldadu siber pro mereka, mesti berusaha menangkis serangan yang dilancarkan oleh Sarawakreport. Kegagalan menepis pendedahan demi pendedahan yang disiarkan, khususnya yang mengkritik hebat kepemimpinan Abdul Taib boleh menjadi halangan kepada impian BN untuk menang selesa, sekurang-kurangnya kalau diukur pada majoriti kemenangan pada pilihanraya kali ini.
Isu hutan dan hasil balak, selain isu kroni seakan menjadi aur dengan tebing yang semakin bersatu dan berbaur, memerlukan kepemimpinan Abdul Taib memberi penjelasan dan penangkisan yang boleh diterima secara menyakinkan.
Berdasarkan kunjungan sebegitu ramai terhadap laman Sarawakreport, rata-rata menyokong pendedahan demi pendedahan yang dilakukan. Soalnya lagi, di mana peranan blogger atau soldadu siber pro BN dalam keadaan sekarang.
Sikap memandang ringan, barangkali mungkin disebabkan oleh kedudukan Sarawak sebagai peti deposit BN selama ini mungkin akan mengundang padah di luar jangkaan.
Sokongan moral oleh media luar negara, khususnya dalam isu pencerobohan dan penggalian hasil hutan seperti didedahkan juga sewajarnya memberi isyarat kepada soldadu siber pro BN mengambil langkah segera untuk membantu BN daripada terus dibedil.
Pertahanan tempang dalam strategi perang, mungkin kerana menganggap musuh yang selalu didepani masih lemah boleh menjadi penyebab sesuatu luar jangka boleh berlaku pada pilihanraya kali ini di Sarawak. Mungkin untuk menidakkan kemenangan BN seakan sukar, tetapi meragut lebih banyak kawasan yang selama ini dianggap selamat, seakan-akan telah terlewat.
Dalam tempoh hanya beberapa hari, soldadu siber pro BN mesti melakukan sesuatu untuk menangkis serangan soldadu siber pro Pakatan. Masa yang tinggal kini tidak mungkin dapat digunakan untuk menyerang, tetapi sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk membina kubu pertahanan.
Bagaimanapun, sejauh mana kubu pertahanan itu kukuh, akan menjadi soalan yang lain pula. Hanya Tuhan sahaja yang boleh menjadi penentu pada pilihanraya Sarawak kali ini. Percayalah. Sekurang-kurangnya ingatlah pesanan orang dulu-dulu, jangan sampai nasi menjadi bubur.