nuffnang ads

Thursday, February 10, 2011

BAB SATU


TAK kelihatan pun setitik tanda sabar di wajah masing-masing. Semuanya gelojoh berasak-asak merempuh pintu bas warna kuning pinang, mahu turun segera ke bawah. Memburu tompoh-tompok redup di bawah naungan pohon-pohon Areca Catechu yang berbaris mengelilingi padang kawad itu.

Benar juga kata Fadzil dulu. Di mana perginya esprit de corps? Keadaan hingar-bingar mulai mengambil alih suasana lewat pagi. Kawasan empat persegi yang dilenyek tar hitam sebesar padang bola itu tiba-tiba bertukar menjadi seolah-olah sebuah padang permainan. Kecoh dan riuh memenuhi ruang matanya kini. Dia mengadap sebuah sarkas yang sedang rancak mempamerkan  aksi terkinja-kinja anak-anak muda yang sedang subur tubuh dan mindanya.

Saat itu debar dalamm atmanya semakin laju. Sama seperti debarnya sewaktu membaca cerita Ajsa, seorang guru sarjana Geografi di Bosnia yang membawa anak perempuannya berlindung dalam hutan berdekatan Kampung Rakovcani, selepas askar Serbia mengebom kampung halamannya sekitar 1992.

Sempat juga dihitungnya. Cukup! Ada 20 orang, sama seperti jumlah dalam senarai di dalam fail yang dikepitnya. Kini sementara menyaksikan anak-anak muda perempuan itu menghabiskan sarkas mereka, dia juga kena harus menunggu. Menunggu 45 orang lagi pelatih sarkas muda lelaki yang akan tiba bila-bila masa sahaja.

"Lain sikit nampaknya dia orang ni tuan!" Fadilah mengomel termengah-mengah. "Lasak-lasak nampaknya!"

Mejar Johari membalas ngomelan Fadilah dengan sebuah senyuman. Dua ulas bibirnya melebar dalam kacip kumis yang disisir rapi.

"Budak dah selesai modul fizikal..macam inilah!"

Dijengahnya wajah Fadilah dengan senyum yang belum putus. Ada baris-baris resah rupanya sedang bersidai di wajah anak Minang itu.

"Kalau tuan letih tak apa...biar saya tunggu.." tiba-tiba sahaja Fadilah menawarkan sebuah kebaikan sedang mejar Johari tahu itu hanyalah alasan. Mejar Johar tahu, Fadilah kurang selesa apabila wajahnya direnung lama. Apatah lagi oleh seorang lelaki bergelar duda yang kadang-kala renungan itu mungkin membawa makna yang lain.

"Tuan rehatlah dulu" sambung Fadilah. "Dah panas dah ni.." tambahnya sambil melarikan mukanya memerhatikan beberapa anak muda perempuan yang sedang meluruskan kaki duduk di bawah bayang redup pohon Areca Catechu.

"Tak apa! Biar saya tunggu!"

 Fadilah pun hilang upaya. Dia pula disuruh masuk ke bilik urusetia.

"Fad masuk dalam la...biar saya tunggu sendiri..dah panas ni"

Dari arah belakang pecah pula satu suara. "Nak saya bariskan budak-budak perempuan ni dulu, tuan?"

Mejar Johari menggeleng-gelengkan kepalanya. "Tak payah dulu Sahar! Tunggu dulu. Tunggu kumpulan lelaki sampai" mejar Johari tidak bersetuju. "Janji 11.30 sampai..lagi 10 minit aje!" Sahar pun mengangguk sebelum berpatah, mengekori Fadilah yang telah pun berada di pintu bilik urusetia.

Bersendirian memerhatikan kumpulan anak-anak muda melayan kerenah masing-masing, mejar Johari mengunyah semula pesan Fadzil, kawannya yang bertugas di Kementerian Pertahanan. Dia ingat lagi pesan Fadzil tentang latar belakang semua anak muda ini. Mereka anak muda yang dipilih khas menerusi saringan berdasarkan kes. Kata Fadzil dulu, mereka ini dipilih dari beberapa kem di seluruh negara. Selepas modul fizikal selama sebulan setengah, mereka terpaksa dipindahkan.

"Mereka terpaksa dipindahkan!" diingatinya lagi kata-kata Fadzil dulu. Mejar Johari faham semua itu. Mereka adalah anak-anak muda yang terpaksa dipindahkan ke kem khas ini kerana semuanya berdepan masalah disiplin. Mereka ini pelatih yang bermasalah. Amat-amat bermasalah di segi disiplin.

Mengunyah sebahagian pesan dan kata-kata Fadzil dulu, mejar Johari tiba-tiba seperti dilambung ombak ke laut bimbang. Bolehkah semua tugas ini nanti digalasnya?

Ditolaknya bimbang jauh-jauh. Berkali-kali dia beristiqfar. Cepat-cepat dipaksanya kesabaran masuk semula ke dalam dirinya. Dipautnya kuat-kuat kecekalan Ajsa ketika merentas saat-saat getir dalam hidupnya ketika payah dulu. Kalau Ajsa sanggup berdepan pelbagai sengsara, dipaksa menaiki lori dan dilayan seperti lembu sebelum dilepaskan ke gunung Vlasic dan terpaksa pula berjalan sejauh 28 kilometer ke Travik semata-mata untuk terus hidup, apalah sangat cabaran yang  sedang didepaninya ini!

Tuhan, bisik hati mejar Johari tentu menjadikan segala sesuatu di atas muka bumi ini penuh sebab dan musabab. Tuhan juga fikirnya tentu bersedia memakbulkan permintaan dan setiap doa hambaNya yang berniat ikhlas dan tulus.

"Hello brother!" tiba-tiba suara keras mengejutkan lamunannya. Mejar Johari berpaling kerana tersentak. Seorang anak perempuan rupanya telah sedia berdiri di sebelahnya sambil dua tangannya mencekak pinggang.

"Bos kem ni mana?" tiba-tiba termuntah lahar amarah dari celah bibirnya yang berulas bak delima itu. "Mana dia orang?" bibir bak delima itu terus terketar-ketar. "Tak kan macam ni? Nak biar kami jadi macam lembu ke?"

Benar! Benar sungguh kata-kata Fadzil dulu. Suara keras anak perempuan itu terus berpuing-puing menjadi protes yang amat keras dan tajam menghirisnya. Dia tertikam. Benar kata Fadzil dulu!

"Tak profesional langsung!" anak perempuan itu melepaskan getus bagai panah yang terlepas dari busur lalu tepat mengenai pangkal hatinya. Muncungnya menjadi elastik dan panjang sepanjang galah.

"Beritahu bos kem ni brother! Kami nak masuk bilik dulu. Tak jadinya berlonggok macam ini!" selangkah dia berlalu meninggalkan mejar Johari, sempat dia berpaling dan mengangkat kedua-dua keningnya.

Langkahnya pula penuh megah, diseret masuk ke dalam kelompok kawan-kawannya yang sedang berlonggok dan menunggu.

Sedih pula hatinya. Memerhatikan gelagat anak muda itu, mejar Johari terasa simpati. Kasihan dia, bisik hati kecilnya. Benar seperti pesan Fadzil dulu. Cara dia berjalan masuk ke dalam kelompok kawan-kawannya juga amat bongkak. Peliknya dia boleh pula disambut dengan sorak-sorai oleh kawan-kawannya dengan gelak tawa yang berselang-seli memangggil namanya; Ros!

Mejar Johari segera teringat. Senarai yang dipegangnya disemak. Perlahan-lahan dia mencari nama seseorang. Siti Rosmina Bidin! Benar. Kalau panggilan Ros itu merujuk kepada Siti Rosmina, memang dialah orangnya, hati mejar Johari mulai yakin. Memanglah dia budaknya antara yang pernah disebut Fadzil dulu.

"Budaknya cantik! Tapi perangai...Ya Rabbii! Mulutnya laser macam ada bebola api!" gurau sinis Fadzil dulu diingatnya lagi.

Kesabaran mejar Johari memang tebal setebal tembok Penjara Pudu yang telah dirobohkan itu. Tapi tidak bagi Fadilah yang sejak tadi memerhatikan gelagat anak muda itu. Terketap-ketap Fadilah melihat perangai budak itu dari jendela bilik urusetia yang hanya 20 meter dari tempat mejar Johari berdiri.

Aksi spontan yang ditunjukkan budak bernama Ros itu amat melukainya. Ia amat menggugat kesabarannya. Dan entah bila saja langkahnya pantas menghantar tubuhnya yang kecil itu berdiri di sisi mejar Johari.

"Tuan pergi minum dulu ya..." Fadilah ternyata mulai hilang sabar melihat apa yang berlaku tadi. "Biar saya tunggu dan uruskan dia orang" tambahnya separuh mengarah. Mejar Johari faham. Dari wajah bujur sirih Fadilah, dia tahu ada kemarahan sedang bersimpang perenang.

"Tak apalah Fad. Budak-budak!" pujuk mejak Johari.

 Tapi Fadilah tak terpujuk. "Kita tak boleh biarkan sangat tuan. Nanti dipijaknya kepala kita!"

 Mejar Johari menghadiahkan senyuman. Senyuman yang manis seperti yang entah berapa ribu kali pernah dihadiahkannya kepada Fadilah sebelum ini. "Sabar Fad..."

Fadilah mencebikkan sedikit bibirnya. Tiga garis pada keningnya merentang bagaikan ampai jemuran. Mejar Johari faham. Fadilah ada sebab untuk berasa marah dengan apa yang berlaku dan dilakukan oleh Ros tadi.

Ditinggalkannya Fadilah, dia perlahan-lahan menuju ke arah kumpulan anak-anak muda perempuan yang sibuk mengelilingi Ros di bawah redup pohon Areca Catechu itu.

"Hello semua!" terus dia menghadiahkan sapaan untuk memesrai suasana. "Saya mejar Johari. Sayalah komandan kem ini! tambahnya.

"Saya minta maaf..." belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, sorak-sorai daripada kumpulan anak muda itu memintas bagaikan halilintar. Dan serentak itu tumbuh berkuntum-kuntum senyuman dari celah  bibir setiap mereka.

Tercampak dan lemas dalam lambakan senyuman dan keriuhan itu, mejar Johari tiba-tiba terpandang sesuatu pada wajah Ros yang sedang tekun tegak memerhatikannya. Ros yang tadinya melontarkan lahar amarah peliknya memerhatikannya penuh kagum. Dengan senyum. Dan ketika itulah mejar Johari terpandangkan sesuatu. Lesung pipit di kedua-dua pipinya, hampir dengan bucu bibirnya yang melengkung ketika tersenyum.

Sudah sah dan aci. Memang Ros adalah wakil tidak rasmi di kalangan kawan-kawannya itu. Dari tegak pegun, Ros melangkah dua tapak ke depan, betul-betul berdiri hanya berjarak selangkah dari mejar Johari.

"Tuan...saya minta maaf!" dihulurkannya tangan. "Saya tak kenal tadi...maafkan saya" tangan mejar Johari menyambutnya secara lembut. Fadilah pula telah meninggalkan tempat itu tanpa disedari mejar Johari.

Lesung pipit di pipi Ros amat tirus ke dalam, bagai lubang semut api di tepi tanah peroi di tebing sungai. "Kalau saya tahu tuan ni komandan...saya tak akan cakap macam tu tadi!" mulutnya terus bersuara. Tapi nakalnya memang ada. Tangan mejar Johari, seolah-olah tidak dilepaskannya, walaupun kawan-kawan di sekeliling mulai menyindir.

"Maafkan saya tuan..." dan tangan mejar Johari pun dilepaskannya. Itupun seperti terpaksa. "Saya janji tak buat lagi" dan saat itu keningnya terangkat-angkat. Mejar Johari tergamam. Memang cantik budak itu. Cuma perangainya, nakal!

"Okey...okey..pelatih lelaki akan tiba bila-bila masa sahaja. Saya minta kamu bersabar. Mereka sampai saja, kita semua akan masuk ke bilik asrama. Okey tak?"

"Okey tuan..." bergema suara kumpulan anak-anak perempuan itu membalas pantas. Fadilah rupanya memerhatikan sahaja semua itu dari tingkap bilik urusetia.




MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10