nuffnang ads

Tuesday, February 15, 2011

BAB ENAM


LUCY tidak tahu banyak apa sebenarnya Program Nasional. Banyak juga yang diberitahu Freddie sebelum ini, tapi semuanya Lucy angguk sahaja. Manalah dia tahu semua ini, lagi pun dia baru 17 tahun. Cuma dia percaya suratnya yang dikirimkan lebih seminggu dulu telah selamat sampai ke tangan Freddie. Barangkali Freddie telah faham segala yang ditulisnya dalam surat itu.

Freddie mahu kata apa pun, terpulanglah kata hatinya. Lucy tidak mahu memikirkan apa-apa lagi. Biarlah, itu tekadnya. Lagi pun bukan dia sengaja. Hidup ini perlukan wang. Keputusan ini pun dibuatnya dalam keadaan penuh paksa.

Tentu Freddie faham, Lucy menyakinkan dirinya bersungguh-sungguh. Dalam surat itu segala-galanya telah disebutkannya. Cafe kuda Alan telah diserbu polis. Alan kena saman. Dia pula kena cekup. Dua hari masuk lokap. Cuma nasibnya baik, dia dapat jaminan. Kata polis, dia di bawah umur. Cuma yang teruknya, Alan.

Melangkah keluar mahkamah, Alan mengeluh. Dia beritahu Lucy cadangannya untuk berpindah ke Johor Bahru. Kata Alan, kalau susah juga mahu cari makan, dia mahu masuk Singapura.

Bagi Lucy itu tidak penting. Hal yang berlaku itu adalah antara dia dan Alan. Lagi pun hal-hal itu, telah menjadi perkara biasa dalam hidup Alan sebagai pemilik Cafe kuda haram. Yang tidak biasanya ialah apabila dia tiada wang!

Lucy tahu, Freddie mungkin kini  sedang sibuk. Sejak ditukarkan ke kem baru, gara-gara bertumbuk di kem lamanya, Freddie tentu berdepan banyak perkara baru yang mesti dipelajarinya.

Dia teringat surat Freddie dua hari sebelum berpindah kem. "Lu kena sabar. Gua dalam kem tak lama, empat bulan sahaja! Lu kerja ikut Alan dulu, nanti bila habis latihan kita pindah tempat lain"

Tapi Freddie tidak faham, fikir Lucy. Saat-saat begini dia sebenarnya dalam kebingungan. Bila Cafe kuda Alan kena tutup, dia hilang tempat bergantung.

Dulu semasa Freddie ada, dia tak perlu bersusah-payah. Kerjanya cuma bantu Alan di kedainya untuk cari duit alat solek. Setiap bulan, Freddie pula akan hulurkan RM1,000. Tapi hari ini macam mana? Freddie jauh di dalam kem. Empat bulan pula dia tak akan pulang. Dia? Dia sebatang kara. Freddie bukan tidak tahu. Dia tak ada emak bapa. Dia anak rumah kebajikan!

Selama ini memang Freddielah yang menyara dia dari duit yang papanya beri. Tapi sekarang Lucy tersepit. Tersepit dalam kepayahan ini menghantar dia hidup dalam keadaan penuh paksa.

Alan memang simpati. Bila cafenya ditutup, dia tahu Lucy kehilangan tempat bergantung. Lebih-lebih lagi Freddie berada di dalam kem. Bila ini berlaku tentu tidak salah kalau dia bawa Lucy berjumpa Ah Lok! Tindakan Alan itu juga tentunya satu kebaikan yang tidak boleh ditolak begitu sahaja oleh Lucy.

Lucy terima tawaran Ah Lok. Dia memerlukan wang. Ah Lok ada bertahu, Lucy boleh mendapat paling tidak RM2,000 sebulan. Cukuplah. Lucy fikir, Freddie tak payah lagi susah-susahkan dirinya.

Dalam surat itu Lucy tuliskan juga sedikit sebannyak tentang hubungan mereka. Lucy telah buat keputusan, soal hubungan mereka jangan difikirkan sangat. Itu yang Lucy harap. Dia masih muda. Freddie pun masih muda. Susah-susah pilih cara sendiri.

Bila Freddie baca suratnya nanti, Lucy harap dia faham. Apa yang berlaku ini adalah realiti hidup. Hidup bukan sekadar bernafas. Hidup juga bukan hanya bergantung kepada janji atau kasih-sayang. Janji atau kasih-sayang belum tentu memberikan apa-apa. Hidup perlukan wang. Wang satu kuasa yang amat besar dalam hidup ini!

Tentang apa yang telah Freddie berikan padanya dulu, soal lain. Kalau Freddie mahu marah pun, mungkin tidak berapa kena. Lucy dan Freddie  belum pernah setuju untuk terikat. Dia dan Freddie tidak pernah ke pejabat pendaftaran untuk mendaftarkan sebuah perkahwinan. Ahhh! Perkahwinan tidak perlu bagi Lucy. Freddie dulu pun kata, kenikmatan hidup lebih seronok dengan cara begini. Tidak terikat apa-apa. Kalau ditanyakan Freddie pun, dia tak boleh berbohong. Lebih setahun bersama segalanya sudah lebih dari sebuah perkahwinan.

Banyak yang Lucy telah berikan. Banyak juga yang Freddie dapat dari tubuh badannya. Cuma satu yang tidak pernah Lucy berikan lagi, iaitu anak!

"Pindah barang kau dari bilik Freddie! Sewanya siapa nak bayar?" dua minggu dulu, Ah Lok menawarkan Lucy tempat tinggal. Itu antara perkara utama yang mesti Lucy fikirkan. Hak asas untuk hidup, salah satunya ialah tempat tinggal.

Tempat tinggal memang penting. Anjing di tepi jalan pun tahu mencari tempat tinggalnya. Apa nama sekai pun tempatnya, anjing tetap memanggilnya tempat tinggal. Bawah rumah, bawah pokok atau dalam belukar. Kucing, harimau dan segala jenis binatang pun ada tempat tinggal juga. Ini pula dia. Dia manusia. Bila ah Lok tawarkan tempat tinggal, tentu dia tak mahu menolaknya. Lagi pun bukankah peluang sering datang sekali dalam hidup ini?

Malam pertama, Lucy seronok benar. Segala itu diberitahunya juga  kepada Freddie menerusi suratnya. Hidup kata Lucy, bermandikan cahaya di tempat tinggal baru itu. Tempat kerja yang ah Lok sediakan macam dalam istana. Cantik, berhias dan ada muzik. Ramai betul lelaki yang memujinya. Mereka kata Lucy cantik. Muka manis, kulit bersih. Yang nakal pun tidak kurang. Macam-macam yang ada pada tubuhnya dipuji-puji. Ahh! Memang lelaki macam itu. Freddie tentu faham. Dia juga lelaki.

Sesekali Lucy bangga. Terasa dirinya dihargai. Terasa juga dia boleh menjadi manusia yang berguna di tempat tinggal barunya. Banyak lelaki yang datang meminta bantuan untuk bermanja. Mereka datang menagih rawatan. Membawa resah dan segala macam kegelisahan. Kasihan mereka. Cuma dalam keadaan itu, dia tidak boleh sombong, kata Ah Lok. Yang datang menemuinya itu adalah pesakit. Ruang bercahaya, berhias dan penuh muzik ini pula adalah wadnya. Lucylah doktornya. Kata Ah lok, dia mesti bijak mendiagnosis setiap pesakit yang rebah ke pahanya. Paling tidak dia mesti tahu berdiplomasi. Semua tugas ini, kalau Lucy pandai kata Ah Lok, boleh memberi keseronokan. Boleh memberi pulangan duit yang cukup banyak.

Lepas seminggu di kelab Alcado, Lucy telah mula mengingati banyak nama. Supandi, kontraktor Indonesia yangg telah mendapat taraf pemastatutin tetap itu boleh tahan pemurahnya. Kim, eksekutif hartanah, apa pula kurangnya. Tidak kedekut. Uncle Tan, yang berperut gendut macam bapa Freddie pun dia tak mungkin lupa. Orang tua itu pandai buat lawak. Lawak yang dia buat sering menghilangkan penat yang Lucy pikul.

 "Ikut aku beli baju baru. Kena moden sikit" Ah Lok yang dipanggilnya papa memberi pandangan. Katanya Lucy, perlu bijak menarik perhatian.

"Cari makan di sini pun kena guna akal! Jangan buat pelanggan cepat jemu! Mereka bukan hairan sangat joget-joget. Yang mereka mahu ialah tengok awak. Kalau hari-hari dia orang tengok awak tak emu, maknanya awak banyak dapat untung" itu pun Ah Lok mengingatkannya.

Ah Lok pula pemurah. Semua baju yang dibelikannya, dibayar dengan wang dari sakunya sendiri. Sara, Linda, Efi pun kata macam itu. Mereka sudah lama di sini. Mereka boleh bertahan sebab Ah Lok tidak cerewet. Caj yang Ah Lok ambil tidak tinggi. Itu kata Efi yang telah tiga kali bertukar tempat kerja.

Linda juga setuju. Katanya, Ah Lok bukan kaki kencing macam tauke tempat kerja lamanya dulu.

"Cukup hari bulan dia bayar!"

Efi setuju, Lucy pun setuju. Di tempat kerjanya Lucy tengok pelanggan yang datang bukan calang-calang orang. Mereka pelanggan yang banyak duit, pelanggan tetap Ah Lok! Sengkek-sengkek Ah Lok, kawan-kawannya semua kaya-raya.

Lucy terasa amat seronok berada di situ. Diberitahunya perasaan itu kepada Freddie.Bila subuh lepas kerja di akan ikut Efi dan Linda ke disko.

Segalanya tidak memeningkan kepala. Paling beruntung dia mudah sangat dapatkan pil goyang kepala. Tak perlu tunggu Freddie lagi. Sedangkan dalam kem, Freddie jangan-jangan sedang gila  barat menahan ketagih pil goyang. Di sini, Ah Lok ada stok sendiri. Tapi Lucy jarang ambil stok dari Ah Lok sebab Ah Lok beri ikut jadual. Dia takut Lucy terbabas, asyik tak henti-henti goyang kepala. Ah Lok bimbang kalau itu berlaku, dia juga yang akan rugi kalau Lucy asyik goyang-goyang kepala, mengabaikan pelanggan yang datang.

Kalau Freddie tengok apa yang dia dapat sekarang, tentu Freddie kagum, fikir Lucy. Freddie tentu tidak kecewa. Sekurang-kurangnya bila Freddie tidak lagi bersama, dia masih boleh hidup. Sekurang-kurangnya dia tidak lagi menyusahkan anak tauke kilang kasut itu.

Bukan dia tidak suka Freddie. Salah kalau dikatakan dia tidak sukakan Freddie. Freddie anak orang kaya, banyak duit. Walaupun dia hanya setahun lebih tua dari Lucy, tapi duitnya berlambak. Papanya kaya. Duit papanya mengalir ke dalam akaun Freddie. Sebahagiannya, kemudian mengalir ke dalam saku Lucy setiap bulan. Tapi itu cerita dulu!

Keputusan yang Lucy ambil ini pun bukan melibatkan kasih sayang sangat pun. Mana ada! Awalnya dia dan Freddie bukan diikat oleh kasih sayang. Freddie ambilnya pada awalnya hanya untuk seronok-seronok. Lucy pula ikut Freddie hanya kerana duit. Kemudian mereka jadi teman hidup. Teman hidup yang hidup dalam satu rumah.

Teman hidup pula boleh bertukar. Lucy sering terfikirkan itu. Freddie pun pernah terlepas cakap. Mungkin dia bergurau. Mungkin juga itu yang ada dalam hatinya. Freddie kata Lucy mesti bersedia menjadi perempuan yang berani menghadapi apa sahaja kemungkinan. Kalau satu hari nanti dia ditentukan bertemu perempuan lain, Lucy tak boleh menghalang.

Mungkin betullah keputusan yang Lucy ambil ini. Sebelum dia berdepan kemungkinan buruk, lebih baik dia ambil langkah pencegahan. Sekurang-kurangnya dia telah ada payung. Sekurang-kurangnya dia tidak basah bila ditimpa hujan. Sekurang-kurangnya Lucy tidak menangis satu hari nanti, kalau Freddie buat hal. Yalah, kalau Freddie tiba-tiba curang!

Lucy harap sangat-sangat surat yang dia tulis dalam bahasa Mandarin ini sampai ke tangan Freddie. Biar Freddie faham dan biar Freddie tahu bahawa antara mereka mungkin sudah tidak boleh bersama lagi.

Sambil berdoa, Lucy bakar lilin dan colok di depan toa peh kong di sudut sebelah tepi pintu bilik air kediamannya. Antara doa Lucy ialah mahu Freddie faham dan jangan mencarinya lagi!


MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10