nuffnang ads

Monday, February 14, 2011

BAB EMPAT


MATAHARI tegak segalah di atas kepala. Perit, pijar habanya menggigit-gigit kulit tangan. Bahangnya yang singgah ke kulit muka terasa pula menyenggar. Mejar Johari buat selamba. Dia tidak peduli semua itu kerana ada yang lebih panas daripada itu pernah dilaluinya selama ini.

Di tengah padang kawad, uniform membalut 65 pelatih lelaki dan perempuan telah lencun. Peluh yang asalnya cuma bak bintik-bintik embun telah bertukar mencurah-curah seperti air hujan yang turun menjirus di hujung daun pisang.

Langkah mejar Johari tenang dan teratur mengiringi Datuk Wong. Perbarisan kawad kaki mulanya dirasmikan dengan lagu "Jalur Gemilang". Band didatangkan khas daripada Rejimen Askar Melayu DiRaja, kemudian menukar lagu. Alunan lagu "Malaysia Berjaya" pula didendangkan. Lagu itu mengimbau kenangan lampaunya pada hari bersejarah ditauliahkan sebagai pegawai berpangkat Leftenan Muda, 25 tahun lalu.

Masih basah dalam ingatannya semua kenangan indah itu. Di padang kawad di depan Dewan Tun Templer, dia berjalan melangkah gagah mengadap Yang DiPertuan Agong menerima tauliah dan anugerah sebagai pegawai kedet terbaik.

Tapi itu dulu. Itu telah lama berlalu. Kini dia komandan di sebuah kem khas untuk anak-anak muda yang telah diasingkan kerana berdepan masalah disiplin yang amat buruk.

Padang kawad sunyi sepi. Kecuali sesekali suara Sahar bergema memberi arahan, suasana selebihnya dibalut diam. Telah banyak kali mereka dilatih menyertai perbarisan seumpama ini. Banyak kali latihan dibuat. Mereka pun sepatutnya tidak kekok. Sebulan lebih di kem asal masing-masing sebelum ini, kawad kaki sepatutnya telah diajar dan boleh dilakukan dengan sempunra.

Sambil berjalan, sempat dia mengerling ke kiri ke kanan. Saat itu yakin sungguh dia tentang hakikat bahawa disiplin mesti bermula daripada kawad kaki. Disiplin tidak akan terbentuk begitu sahaja. Disiplin datang dari kesediaan untuk patuh pada arahan. Itu sebabnya ketika berkawad mematuhi arahan amat penting. Penting amat-amat.

Sepatutnya dia dan Fadilah yang mengiringi Datuk Wong pada perbarisan hari ini. Itu yang dirancang, tetapi Fadilah pagi-pagi lagi merayu kepadanya untuk dikecualikan. Fadilah kata dia kurang sihat. Entahlah, macam ada yang tidak kena pula pada Fadilah, berdetik hati kecil mejar Johari berprasangka. Tak sempat pula dia bertanyakan dari hati ke hati. Namun itu tidak sangat menggusarkan hatinya. Kalau betul kurang sihat, tidak mengapa. Disuruhnya Fadilah yang mengusung wajah murung sejak awal pagi berehat di bilik urusetia.

Mahu digantikannya dengan Sahidah, tidak boleh. Mana mungkin, sebab Sahidah hanyalah jurulatih program bagi modul dalam kelas.

Lagipun, manalah Sahidah mahir sangat tentang kaedah berkawad ini. Yang boleh dan mampu berkawad ialah Fadilah. Fadilah sahaja seorang, selain Senik dan Sahar. Fadilah dulu pegawai Palapes di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dia telah pun ditauliahkan sebagai Leftenan.

Pentingnya kawad kaki ini umpama tiang sebuah bangunan. Mejar Johari percaya pada perbandingan itu. Dia dapat merasakannya. Tanpa kawad, akan goyahlah semangat berpasukan. Akan terhakislah esprit de corps! Kawad kaki penting. Ia antara elemen paling penting dalam pembentukan disiplin individu atau berpasukan.

Datuk Wong sedang mendahuluinya melintasi barisan 20 pelatih perempuan. Mejar Johari sempat menjeling ke arah Ros yang berdiri nombor dua paling kanan dalam barisan itu. Di sebelahnya Anita, di sebelah Anita, Jalilah. Eloklah tu, bisik hati mejar Johari.

Dikerlingnya Ros. Sengaja dikerlingnya.  Wajah yang memakai beret kelabu itu tidak tahu pula kenapa sering sahaja menarik minatnya. Ekor mata mejar Johari nampak. Benar, dia nampak Ros menggerak-gerakkan keningnya ketika dia dan Datuk Wong melintasi barisan. Mejar Johari tidak boleh berbuat apa-apa dalam keadaan ini. Memang sudah nakal, mahu diapakan!

Dalam keheningan di bawah panas terik itu, tiba-tiba sahaja datang satu gangguan yang di luar duga. Semua gara-gara perlakuan Freedie yang amat-amat mengecewakannya. Sama sekali tidak disangkanya. Memang tidak disangkanya sama sekali.

"Hei...lu punya nombor telefon kasi gua boleh kah? Nanti kalau ada nombor telefon, senang gua telefon!

Memang mengejutkan. Mejar Johari terasa seperti diri dan platun yang diketuainya di dalam hutan belantara diserang hendap oleh musuh secara tiba-tiba. Perlakuan Freddie amat-amat mengecewakannya apatah lagi apabila dia tergamak mengeluarkan kata-kata seumpama itu kepada Datuk Wong, salah seorang ahli penilai program di dalam kem ini.

Langkahnya terus terhenti sebaik sahaja Datuk Wong membrek langkahnya di depan Freddie. Nampak Datuk Wong berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Ditatapnya wajah Freddie. Ada sedikit senyum dilemparkannya. Mejar Johari betul-betul berada dalam satu situasi dan suasana yang amat-amat serba salah.

 "Kasilah...nanti kalau sini manyak hal, gua boleh telefon kasi lu tau!" Freddie memang kurang ajar!

 Datuk Wong tergelak tapi mejar Johari melihat gelak itu amat tawar. Datuk Wong menyeluk sakunya. Dikeluarkannya dompet. Dari celah dompet itu dikeluarkannya pula sekeping kad. Kad itu terus dihulurkannya kepada Freddie.

Freddie menyambutnya dengan gelojoh. Dengan amat-amat gelojoh. "Thank you..haa..thank you!!" katanya.

Bahu Freddie ditepuk dua kali perlahan-lahan oleh Datuk Wong. Senyuman dilontarkannya biarpun tawar hambar. Freddie membalas dengan sebuah sengehan. Suka benar dia. Mejar Johari mengetap bibir!

Kemudian Datuk Wong berpaling ke arah mejar Johari. "Cukup sampai di sini sajalah komandan!" beritahunya. Hati mejar Johari tersentak. Wajahnya terus berubah. Dari celah kerut wajah Datuk Wong dilihatnya tersembunyi resah yang sukar ditafsirkan.

"Saya ada majlis lain lepas ni...takut tak sempat" beritau Datuk Wong berkalih dan tanpa banyak bicara terus berlalu menuju ke ke arah keretanya yang sedang menunggu di tempat letak kereta khas kem itu. Mejar Johari tahu Datuk Wong tersinggung dengan kelakuan Freddie tadi. Tapi bagaimana? Mahu diapakannya dalam keadaan itu? Mahu dijerkahnya Freddie? Oh..hatinya berperang. Tidak mungkin!

Fikir mejar Johari, kalaulah Fadzil ada ketika itu, tentu dia juga akan tersenyum atau menggigit bibir. Ada benar pesan kawannya itu. Dia menelan kekecewaan secara paksa. Perbuatan Freddie tadi amat melukakannya.

Belum usai berperang memikirkan gelagat Freddie, seorang lagi buat hal. Murugan! Dia berpaling ketika sedang berbaris, berbual dengan Ros di baris belakang!

Saat itu dia terasa benar harus bertegas. Dia komandan. Dia mesti bertindak. Sabar mejar Johari semakin terhakis apabila Ahmad Barbuji pula menumpang untuk meriuhkan lagi gelagat Murugan dan Ros. Mereka berbual, tidak ubah seperti ketika di kedai kopi!

Ya, sabar mejar Johari mulai terhakis. Terfikir pula dia kalaulah saat itu ada Fadilah, tentulah tahu Fadilah menguruskan keadaan. Sahar dan Senik pula telah berada di pintu pagar menemani kenderaan Datuk Wong keluar dari kem itu.

Masih tercegat di depan Freddie, akhirnya mejar Johari membuka mulutnya. "Jumpa saya di bilik urusetia nanti. Kamu bertiga pun sama!" tunjuk jarinya ke arah Ros, Ahmad Barbuji dan Murugan. "Ingat! Jumpa saya nanti!"

"Gua salahkah tuan? Haiseyy man...gua kena lagi!" Freddie merungut. Mejar Johari membeliakkan matanya. Freddie tunduk. Ros, Murugan dan Ahmad Barbuji terdiam. Perbarisan dibubarkan. Semua keluar baris!

Mejar Johari tidak peduli. Sakit pula hatinya dengan apa yang berlaku tadi. Sepatutnya, Datuk Wong akan masuk ke pejabat urusetia selepas memeriksa perbarisan. Selepas itu, mereka akan berbincang sambil menjamah makan tengah hari. Tapi Datuk Wong buat jalan singkat. Pemeriksaan perbarisan pun tidak sempat dihabiskan.

Ya..sakit terasa dalam hatinya. Semua ini gara-gara Freddie. Ya..Freddie!

"Tuan...sekarang time makan ma..mana boleh jumpa tuan!"

Mejar Johari berpaling. Budak itu lagi. Mahu sahaja dia memekik dan menjerkah, tetapi tidak boleh. Tidak boleh dan tidak mungkin.

"Lepas makan tengah harilah!"

Freddie anak tauke kilang kasut di Serdang itu dipandangnya lama-lama. Lama-lama dipandangnya. Sudahlah tadi dia buat kacau dalam perbarisan, kali ini mahu buat lawak pula bertanyakan soalan bodoh, gerutu dalam hati mejar Johari.

"Faham?"

"Baik tuan! Manyak terima kasih!"

Jam 4 petang mereka datang. Ros, Ahmad Barbuji, Murugan dan Freddie di belakang sekali. Sahidah menyambut mereka.

Fadilah hanya menjeling dari tempat duduknya. Matanya beralih ke arah tempat duduk mejar Johari. Bosnya sedang tekun meneliti fail entah apa entah. Tiba-tiba rasa kasihan. Diusap wajah bosnya itu dengan pandangan penuh simpati. Kasihan pula dia. Kasihan dia pada mejar Johari. Kemudian datang pula perasaan lain apabila pandangannya semakin dalam masuk ke wajah bosnya yang sedang tekun membaca sesuatu itu. Ahh...perasaan itu tidak mungkin, fikir Fadilah. Dan dia segera mengalih pandang ke arah budak berempat itu.

Kasihan dia pada bosnya itu kerana hari ini terlalu banyak ragam yang dibuat oleh budak-budak ini. Sesekali dapat dirasakan, mejar Johari seperti tertekan. Fadilah kasihan sangat-sangat. Dulu-dulu ada kalanya mereka sempat keluar ketika waktu senggang, tapi sejak kehadiran budak-budak ini masa senggang itu telah seperti tiada langsung.

Dijelingnya Ros di depan sekali. Entahlah, lain macam perasaannya apabila terpandangkan budak itu. Mereka sedang duduk sementara menunggu Sahidah mendapat lampu hijau dari mejar Johari.

Mejar Johari mengangkat mukanya. 'Haaa..kamu semua mari ke sini!"

Bergegas budak berempat itu mendatangi meja mejar Johari.

"Kamu tahu kan kenapa saya panggil kamu?" dia terus menuju pandang ke arah Freddie. "Kamu tahu kan?" suaranya keras.

Freddie tundukkan muka. Dia diam membisu seribu bahasa.

"Beritahu saya kenapa dalam padang kawad tadi kamu bercakap? Beritahu saya saya kenapa kamu boleh bercakap dengan cara kurang sopan? Kenapa? Kamu tahu tak dengan siapa kamu bercakap tadi?"

Freddie masih tundukkan muka.

"Kalau saya tanya..kamu kena jawap. Jangan biarkan saya bercakap dengan tunggul...faham!"

Freddie angkat mukanya perlahan-lahan. "Sebenarnya tuan..gua mintak nombor telefon tuan...gua ingat kalau sini ada apa-apa hal gua boleh call...boleh stroy sama itu orang!"

"Saya tak boleh terima alasan kamu!" tegas mejar Johari. "Ini amaran terakhir...dalam padang kawad kamu tak boleh bercakap...faham!!"

"Faham!!!"

"Kamu kena faham sebab kamu dihantar ke kem ini. Kamu diberi peluang kedua untuk berubah. Untuk betulkan perangai kamu. Awak tahu bukan?" sambung bebel mejar Johari. "Awak tahu bukan?...dulu awak melanggar disiplin di kem asal. Itu fasal kamu dihantar ke sini!

"Di sini lain! Ini kem program khas untuk pemulihan disiplin. Di sini kamu diberi peluang terakhir. Kalau kamu tak mahu berubah...payah..Tempoh kursus kamu akan dipanjangkan..kamu mahu?"

Freddie melongo mendengar bebel mejar Johari.

"Faham tak?" sergah mejar Johari.

"Faham tuan!!" balas Freddie.

"Kamu boleh pergi..."

"Manyak terima kasih tuan!!"

Ros, Murugan dan Ahmad Barbuji diarahkan berjumpa Fadilah. Mejar Johari hilang mood kerana Freddie. Fadilah faham dengan arahan terbaru itu. Dia akan berdepan dengan Ros, Ahmad Barbuji dan Murugan. Tapi melihat Ros, hatinya tiba-tiba sahaja menggelegak.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10