nuffnang ads

Saturday, January 29, 2011

SELAMAT TAHUN BARU CINA UNTUK PERDANA MENTERI DARIPADA SINGALAUTMETRO


SEPERTI orang lain, blog ini juga menerima ucapan Selamat Tahun Baru Cina daripada Perdana Menteri. Bukan sekali. Dua kali saya menerimanya. Jadi blog ini kenalah membalas dua kali juga. Selamat Tahun Baru Cina Perdana Menteri. Selamat Tahun Baru Cina Perdana Menteri.

Tulis Perdana Menteri beliau terkenang zaman lampaunya tentang perayaan menyambut Tahun Baru Cina ini. Saya juga ingin bercerita kenangan lampau yang manis tentang perayaan itu - semanis limau mandarin dan semanis wajah Swee Lan yang kini entah di mana adanya!

Kami berdua berkawan sejak kecil. Rambut Swee Lan bertocang diikat. Setiap hari ke sekolah kami selalu seiring. Ketika hujan kadang-kala kami berkongsi pelepah pisang menjadi payung, berlindung dari basah. Selalunya tak lama, lencun juga baju kami apabila hujan lebat kerana apalah daya sehelai daun pisang! Ditikam hujan lebat yang mencurah, kuncup dan bocor juga ia.

Pulang sekolah kami juga selalu bersama. Kasut getah warna putih Swee Lan kadang-kala saya kendong apabila dia membukanya untuk mendaki bukit tanah merah. Kata Swee Lan, susah berkasut mendaki bukit!

Pernah Swee Lan diganggu kawan lelaki sebangsa dengannya. Mereka usik Swee Lan tidak malukah nanti berkahwin dengan Melayu. Swee Lan biasanya mencebik bibirnya. Saya pula yang sering menjawab: "Kalau Swee Lan tak kisah, aku pun pun tak kisah" Dan akhirnya Swee Lan akan menjeling tajam mendengarnya, tapi saya tahu dalam jelingnya itu mengumpul satu rasa yang dia sendiri tidak mampu terjemahkan!

Bila tiba Raya Cina, Swee Lan selalu hadiahkan kuih bakul, sebesar tapak tangan. Saya sering terima dengan hati penuh berbunga-bunga dan saya makan tanpa rasa wasangka atau curiga kerana saya tahu keluarga Swee Lan tak pernah menyentuh babi dan seekor anjing pun tak pernah dibela oleh keluarganya.

Apabila Perdana Menteri menghantar ucapan Selamat Tahun Baru Cina, tentulah ingatan saya terbang jauh kepada anak Cina bernama Swee Lan itu. Entahlah dia di mana. Mungkin telah bercucu, tapi saya masih ingat kebaikan Swee Lan walaupun itu semua telah lama berlalu.

Selamat Tahun Baru Cina kepada semua yang meraikannya. Selamat Tahun Baru Cina kepada Perdana Menteri.


 

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10