SETIAP inci ruang di tanah tercinta ini, menyimpan kisah dukacita Melayu yang tak terbasuh oleh angan-angan dan cerita politik yang retorik!
Di Marang, polis terpaksa menahan dua beradik, abang lelaki berusia 14 tahun dan adik perempuannya berusia 13 tahun kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar daerah itu.
Duka pertama kerana kedua-duanya telah berhenti sekolah sejak dua tahun lalu. Ini bermakna, si abang berhenti sekolah pada usia 12 tahun atau pada ketika kawan-kawan lain berada di tahun enam sekolah rendah! Si adik perempuan pula, berhenti sekolah pada usia 11 tahun, atau ketika berada di tahun lima!
Duka kedua, masalah keluarga yang berpecah menjadikan anak-anak Melayu ini sebagai mangsa. Si ayah seorang penagih dadah!
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mazlan Yahya dipetik berkata, siasatan awal polis mendapati kedua-duanya terbabit dalam gejala jenayah dipercayai kerana berpunca daripada masalah keluarga yang melanda.
Katanya, dengan penahanan dua beradik itu, polis yakin dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes pecah rumah yang berlaku sejak November tahun lalu.
Modus operandi adik beradik ini ketika melakukan kegiatan pecah rumah ialah dengan memanjat bumbung rumah mangsa untuk memasukinya.
Nah! Apakah kita bersedia untuk menerima hakikat bahawa pada setiap ruang kehidupan di tanah air tercinta ini, rupanya terhimpun masih banyak cerita dukacita tentang kesengsaraan hidup rakyat, khususnya di kalangan orang Melayu.
Adakah kita menyedari dan mampu membela mereka, ketika kita amat sibuk bercerita tentang dongeng dan cerita politik yang bersifat purbakala? Anak-anak Melayu sekecil itu amat memerlukan bimbingan dan dorongan dengan kadar segera. Nyalakanlah sedikit sumbu lilin untuk menerangi lorong gelap kehidupan mereka yang masih panjang ini! Tolonglah!