KETIKA zaman almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri, tidak terdengar suara parti pembangkang mengkritik almarhumah isterinya Toh Puan Sharifah Rodziah. Parti pembangkang menghormati isteri perdana menteri itu yang sentiasa berada di samping suami menjalankan tugas negara.
Ketika zaman allahyarham Tun Razak sebagai Perdana Menteri, tidak terdengar parti pembangkang mengkritik isterinya, Toh Puan Hajah Rahah. Parti pembangkang amat menghormati isteri perdana menteri itu yang tidak mencampuri hal ehwal politik.
Ketika zaman allahyarham Tun Hussein sebagai Perdana Menteri, tidak terdengar parti pembangkang mengkritik isterinya, Toh Puan Suhaila.
Begitu juga zaman Tun Dr Mahathir, siapakah parti pembangkang yang berani mengkritik atau bersifat kurang ajar kepada Tun Dr Siti Hasmah? Pembangkang hanya mengecam dan mengkritik Mahathir atas sifatnya sebagai perdana menteri dan Mahathir pula membubuh pembangkang, saling berlawan kritikan dan basuhan. Namun tidak sekali-kali isterinya, Dr Siti Hasmah. Malah Dr Siti Hasmah sehingga kini amat disayangi semua orang.
Begitu juga zaman Tun Abdullah sebagai perdana menteri. Isterinya, Hendon dan Jean tidak langsung dikritik atau diusik parti pembangkang. Kita percaya parti pembangkang amat profesional, iaitu menghormati isteri-isteri perdana menteri. Isteri-isteri perdana menteri disayangi oleh rakyat, termasuk juga parti pembangkang.
Menjadi pertanyaan kita kenapakah, isteri perdana menteri sekarang, Rosmah Mansor sering pula menjadi bahan kritikan parti pembangkang dan rakyat? Sama-sama kita renungkan.
Kita mahu semua isteri perdana menteri dihormati, tetapi pada masa yang sama kita kena melihat diri kenapa hal-hal begini terjadi?