MANA mungkin boleh dilupakan! Seorang Puan Sri, isteri kepada seorang Tan Sri pernah merayu berkali-kali kepada saya.
Katanya, tolonglah pergi dari kediamannya. Tan Sri tak akan keluar dari rumahnya selagi saya tetap menunggu di pintu pagar banglo besarnya itu.
Saya kata: "Ini tugas saya Puan Sri! Selagi Tan Sri tak keluar dan tak mahu jumpa, selagi itulah saya dan kawan saya tidak akan pulang ke pejabat!"
Entahlah! Keras betul hati saya tetap mahu memastikan suami Puan Sri itu keluar. Saya dan seorang lagi kawan yang memang sedang menunggu, memang menanti apa yang akan dijawabnya apabila kami bertanyakan soalan. Sudah pasti soalan kami tentang rasuah, penyelewengan dan masa depan Tan Sri itu.
Sudahnya sehingga ke Maghrib (lebih dua jam menunggu) Puan Sri keluar lagi menemui saya dan kawan saya. Ulang Puan Sri itu lagi, tolonglah! Tolonglah! Saya merayu balik sajalah. Suami saya tak akan keluar. Dia dah cukup malu, dah cukup dimalukan!
Kali ini Puan Sri datang menemui kami di luar pintu pagar banglonya. Dia bawakan sekali buah tangan, satu talam berisi tamar, air zam-zam dan beberapa hidangan lain kesemuanya dari Mekah!
"Tolonglah dik! Tan Sri pesan dia tak akan jumpa adik. Maruah dia dah cukup tercalar, macam bawah tapak kasut!"
Saya dan kawan saling memberi penjelasan: "Tak boleh Puan Sri.... Dapat jumpa dia sekejap pun tak apa. Saya mahu dengar betulkah dia akan letak jawatan dan betulkah semua benda-benda fasal penyelewengan itu memang dia tahu"
Puan Sri jawab: "Saya tak tahu nak jawab apa. Tapi Tan Sri dah pesan dia tak akan keluar dari rumah selagi adik-adik ada kat pintu pagar ni"
"Tapi ini tugas saya Puan Sri. Bos pesan, selagi tak dapat apa yang Tan Sri cakap, tak boleh balik pejabat. Nampaknya kami kena tunggu sampai dapat" apakah kami telah hilang kemanusiaan?
Ketika Maghrib telah separuh jalan, akhirnya satu pesanan menerusi alat kelui diterima. 'Baliklah...baliklah...Tan Sri telefon merayu!" Rupanya mesej dari bos di pejabat. Baru kami tahu, Tan Sri rupanya menghubungi bos di pejabat merayu dan merayu meminta kami pulang dan meninggalkan kediamannya kerana dia mahu keluar!
Demikianlah antara cerita tentang penyelewengan, kegigihan, maruah, harga diri, kemanusiaan, keadilan dan keterpaksaan yang terpaksa dipikul dalam diri kami bernama manusia juga!
Tan Sri itu akhirnya meletakkan jawatan dari mengetuai sebuah pentadbiran kerajaan! Maafkan saya Puan Sri. kalau Puan Sri berada pada kedudukan saya, apakah yang akan Puan Sri lakukan?