KEMENANGAN pada pertandingan Piala Sumbangsih di antara Kelantan dan Selangor malam ini tidak seberapa penting berbanding kemampuan kedua-dua pasukan untuk mempamerkan permainan bermutu yang boleh dipanggil bola sepak.
Mutu tinggi permainan mesti ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan malam ini kerana ia adalah kesinambungan harapan peminat bola sepak negara ini, selepas kejayaan pasukan Harimau Malaya menggondol Piala Suzuki AFF.
Peminat menaruh impian untuk melihat mutu permainan bola sepak di negara ini sebenarnya telah berubah dari titik lembam menuju ke satu era baru yang lebih kompeten dan menghiburkan.
Walaupun piala menjadi idaman, namun kedua-dua pasukan terlebih dulu mesti memastikan permainan mereka berada di tahap yang membanggakan - cemerlang dan menyakinkan peminat bahawa bola sepak kita tidak lagi terkurung dalam kepompong lama yang sebu dan sebak.
Ayuh Selangor, ayuh Kelantan. Ayuh Mohd Safee, ayuh Norsharul Idlan. Pastikan Stadium Shah Alam malam ini menjadi titik baru perubahan era bola sepak negara.