SEBUAH pesawat AirAsia, terbabas di landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Kuching, mengakibatkan 4 penumpang cedera, malam tadi.
Pesawat Airbus A320 penerbangan AK5218 itu kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, membawa 124 penumpang dan 6 krew dan dalam penerbangan ke Kuching.
Kong berkata, kejadian berlaku ketika hujan lebat dan akibatnya pesawat berkenaan terbabas memasuki tanah lembut di hujung landasan.
Beliau mengesahkan 4 penumpang cedera dan perkhidmatan di lapangan terbang itu tergendala, memaksa 11 penerbangan lain ditunda.
Kerja mengalih pesawat kini sedang giat dilakukan dan dijangka dapat diselesaikan tengah hari ini.