KONTROVERSI novel Interlok karya Datuk Abdullah Hussein yang telah diterima sebagai bahan teks sastera bagi pelajar SPM nampaknya kian larut dan lalut!
Apakah di atas ancaman Pengerusi NGO India Malaysia, Datuk A Vaithilinggam mahu mengadakan upacara membakar novel itu jika ia diteruskan sebagai buku teks sastera SPM, maka kerajaan akhirnya membuat keputusan mengkaji semula penggunaannya di kalangan pelajar di sekolah?
Atau benarkah memang novel itu adalah racun atau najis yang amat lantung baunya dan benar amat akan menggugat keharmonian kaum di negara ini? Benarkah? Fiskyen yang digarap dari realiti dan asasnya adalah dari sejarah itu, kenapa pula baru kini menjadi mangsa? Hanya selepas ia diterima untuk digunapakai baru ia kelihatan amat berbahaya dan tidak berguna?
Apakah penggunaan perkataan paria dalam novel itu menjadikan ia mimpi ngeri yang sering sahaja mengganggu tidur kita, sehingga novel yang sepatutnya harus dilihat dan dibaca sebagai manifestasi penulis terhadap kehidupan yang berlangsung di depan mata mindanya, menjadi seakan-akan karikatur politik yang menyindir sesuatu tentang kesumat dan dendam?
Sayang seribu kali sayang. Novel yang ditulis dari air mata minda, yang digarap dari keringat emosi dan disusun ceritanya dari ayat-ayat yang lahir dari fikiran seniman yang tidak pernah melabuhkan kehidupannya di dermaga politik menjadi korban atas nama 'perpaduan'.
Seakan nampak pula, politik kini menjadi raja yang bersultan di hati. Jika tidak kenapa selepas sekian lama diterbitkan, novel itu tidak sahaja diharamkan. Apakah baru kini kita melihat cacat cela sebuah tulisan selepas ia dibaca bertahun-tahun?
Alangkah baiknya, novel itu tidak dibenarkan penerbitannya sejak awal lagi agar hati penulis dan pejuang sastera yang sebahagian besarnya adalah manusia biasa yang tidak gemar mengunyah gula-gula menjadi tidak luka.
Apakah kontroversi Interlok ini adalah satu manifestasi daripada proses apresiasi pemberian tanda harga ke atas jasa dan air mata penulis negara yang jelas semakin tiada nilainya?
Nampaknya selepas ini kita akan melihat lebih banyak lagi ketidakpuasan akan diterima secara bulat dan buta-tuli, sehingga sudah tentulah pula selepas ini apa yang dilakukan penulis akan menjadi selalu sahaja tidak betul dan selalu sahaja tidak boleh dipersetujui.
Atas nama keharmonian kaum, walaupun alasannya masih kabur dan kurang jelas kita cuba melakukan sesuatu yang telah mengorbankan pula hati pihak yang lain. Benarlah kata orang, tiada kesempurnaan yang akan kita temui dalam kehidupan ini. Tapi soalnya kenapa asyik kita sahaja?
Tanpa mahu merendah-rendahkan hak orang lain untuk mempertahankan hak mereka, kita rasa sudah sampai juga masanya kita bertanyakan hak kita terutama sebagai penulis yang mahu hidup dalam dunia penuh realiti tanpa diganggu oleh batas politik, perkauman dan dangkal fikir manusia yang tidak mengerti apa-apa tentang hasil sastera.
Maafkan kami kerana mempertahankan Interlok. Mohon kami agar karya seorang sasterawan ini dapat ditimbang secara adil dan saksama supaya menepati pepatah lama: Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kami tidak mempertahankan penulisnya, tetapi kami mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan yang digarapnya dalam novel itu berdasarkan realiti yang dipetiknya dari pentas bernama kehidupan!