nuffnang ads

Thursday, January 6, 2011

MASIH RAMAI LULUSAN UNIVERSITI BERGAJI KECIL: DATUK REJAL ARBEE

SAYA selalu bersetuju untuk selalu tidak bersetuju dengan bekas bos lama saya Datuk Rejal Arbee yang kini seorang Felo Kanan UKM. Bagaimanapun, kali ini saya bersetuju untuk bersetuju dengan sebahagian daripada tulisannya dalam BH hari ini tentang betapa masih ramai lulusan universiti masih bergaji kecil pada hari ini.

Rejal menyentuh sedikit berkaitan hasrat kerajaan yang hendak melonjakkan negara dari kedudukan negara berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Gesa Rejal dalam kolumnya di BH hari ini, pelbagai usaha harus dijalankan oleh kerajaan untuk mencapai matlamat itu, termasuk melihat juga realiti pendapatan yang diperolehi oleh golongan majoriti pekerja.

Menurut Rejal 46 peratus tenaga kerja negara ini pada hari ini berpendapatan di bawah RM1,500, sebahagiannya pula adalah LULUSAN UNIVERSITI. Ada lulusan universiti yang bernasib baik dapat bekerja di syarikat yang besar dan menerima gaji sekitar RM2,000. Namun menurut Rejal dengan pendapatan RM2,000 itu mereka hanya dapat menampung kehidupan seharian sahaja iaitu, semuanya digunakan untuk membayar sewa bilik, belanja pengangkutan dan belanja makanan. Itu belum dikira sebahagian pendapatan yang digunakan untuk membayar hutang pinjaman pengajian.

Maknanya, saya seperti anak-anak muda lain setuju bahawa dengan RM2,000 hari ini pun, anak muda hanya cukup keperluan seharian, tanpa MAMPU MEMBELI KERETA MEWAH apatah lagi membeli rumah.

Maka, saya juga bersetuju kerajaan hari ini jangan terlalu ghairah mengejar impian jika asas utama iaitu kadar upah yang dibayar kepada pekerja tidak sejajar momentum kenaikannya dengan darjah keghairahan
negara untuk mencapai impian sebagai negara berpendapatan tinggi.

Keadaan ini jelas mengiyakan keluhan sebegitu banyak anak muda hari ini yang berasa mereka hidup pada paras kemiskinan dan tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan orang tertentu yang mengatakan generasi hari ini MEWAH hidupnya. Antara blogger yang terbuka menyatakan kesempitan hidup di kalangan generasi hari ini ialah Airaniez.

Menurut Airaniez TIPU kalau dikatakan anak muda hari ini telah mewah hidupnya kerana pendapatan yang kecil sebagai lulusan universiti hanya mampu kais pagi makan pagi, terutama apabila terpaksa menjelaskan bayaran pinjaman pengajian yang dibuat sebelum ini. Sinis Airaniez menulis komennya bahawa lainlah kalau anak muda itu mewarisi harta keluarganya yang berkepuk! Lebih dari itu memang anak muda lulusan universiti hari ini masih hidup dalam keadaan yang terhimpit.

Demikian, impian memburu cita-cita supaya negara menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 mesti diberi penelitian dan berpijak pada kenyataan bahawa terlalu ramai pekerja khususnya golongan muda hari ini masih rendah pendapatan bulanannya.

Mengatakan anak muda atau generasi muda mewah hari ini hanyalah kenyataan yang datang daripada pandangan yang melihat realiti kehidupan hari ini dari luar ke dalam dan bukannya dari dalam ke luar. Jika mahu meneruskan kehidupan dengan pendapatan sekitar RM1,500 atau RM2,000 pun sesak-sesak nafas, jangan ditanyakan bila mereka akan mampu membeli kereta, apatah lagi sebuah rumah yang menjadi asas minimum ciri-ciri negara berpendapatan tinggi.

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10