nuffnang ads

Thursday, January 20, 2011

KASIH AYAH DEMI ANAK: BAYAR DENDA RM400 SEHARI SELAGI ANAK TIDAK DIPULANGKAN KEPADA IBU

Bi Anne (kanan) tetap tidak mahu berada di bawah jagaan ibunya walaupun diperintahkan mahkamah. Dia amat sayang dan mahu terus bersama ayahnya. Namun kerana situasi itu, ayahnya, Low terpaksa membayar denda RM400 setiap hari, selagi Bi Anne tidak mahu pulang ke pangkuan ibunya. Namun demi kasih, Low berusaha juga mencari wang membayar denda. Sehingga kini dia telah menghabiskan RM70,000 bagi menjelaskan semua denda yang dikenakan kepadanya oleh mahkamah.-nst

IA bagai satu peperangan kasih yang amat menyebakkan hati. Ia memperlihatkan tiga talian kasih tidak lagi mekar berbunga, di antara anak, ibu dan ayah.

Seorang ayah, Low Swee Siong, terpaksa membayar denda RM400 sehari yang dikenakan mahkamah selagi anak perempuannya, Bi Anne, 12 tahun, enggan kembali kepada ibunya sebagai mematuhi perintah hak penjagaan yang dikeluarkan mahkamah kepada si ibu, Tan Siew Siew, 38.

Semua ini berlaku kerana si anak, walaupun diperintahkan mahkamah supaya berada di bawah penjagaan ibunya yang telah bercerai dengan ayahnya, tidak mahu melaksanakan perintah itu. Sebaliknya Bi Anne tetap mahu tinggal bersama ayahnya. Berikutan itu, ayahnya dikenakan denda kerana menghina mahkamah atas kegagalan melaksanakan perintah dikeluarkan.

Berikut, sorotan kejadian sebak dan menyayukan hati ini:

Low Swee Siong berkahwin dengan Tan Siew Siew pada 2 Ogos 1999. Mereka kemudian bercerai pada 2006. Ketika itu mahkamah memberi hak penjagaan anak kepada si ayah bagi menjaga anak mereka, Bi Anne.

Bagaimanapun dua tahun selepas itu, si ibu memohon semula hak penjagaan anak di mahkamah dan pada Ogos 2008, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan itu, sambil memberi hak kepada ayah untuk berjumpa anaknya. Si ibu tinggal di luar negara dan bekerja sebagai pengurus.

Bagaimanapun, perintah Mahkamah Tinggi itu gagal dilaksanakan apabila Bi Anne enggan meninggalkan ayahnya. Dia enggan hidup bersama ibunya.

Perang hak penjagaan di antara si ayah dan si ibu berlarutan kemudiannya ke Mahkamah Rayuan. Pada 13 Ogos, 3 hakim memujuk Bi Anne supaya memberi ibunya peluang untuk menjaganya.

Bagaimanapun, di dalam mahkamah Bi Anne berkali-kali memberitahu dia TIDAK SAYANGKAN ibunya.

Bila seorang hakim menasihatinya dengan berkata: Ibu kamu telah memelihara kamu selama sembilan bulan. Berilah dia peluang.

Bi Anne menjawab: Dia (ibu) jaga saya selama sembilan bulan, tapi ayah saya menjaga saya selama 10 tahun.

Ekoran itu ayahnya juga didenda kerana menghina mahkamah atas kegagalan melaksanakan perintah penjagaan yang dikeluarkan. Si ayah didenda RM20,000 kerana gagal memulangkan Bi Anne kepada ibunya.

Pada 13 September lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Low Swee Siong (si ayah) supaya membayar denda RM400 bagi setiap hari dia gagal mengembalikan Bi Anne kepada Tan Siew Siew (si ibu).

Semalam, Low menjelaskan dendan RM19,200 bagi maksud itu. Sebelum ini, sebanyak RM32,000 juga telah dibayar kepada mahkamah bagi membayar denda bagi tempoh 13 September hingga 2 Disember 2010 kerana gagal menyerahkan Bi Anne kepada ibunya.

Namun Low, tetap tabah dan sabar walaupun dia semakin kesempitan wang. Demi kasih terhadap anak yang tidak mahu meninggalkannya, Low kini telah menggunakan semua wang simpanannya. Dia juga meminjam dari kawan-kawan dan sanak-saudara bagi menjelaskan denda yang mesti dibayar sebanyak RM400 sehari itu.

Demikianlah. Bi Anne tetap tidak mahu mengikuti ibunya di luar negara. Dia mahu bersama ayahnya. Dia sayang kepada ayahnya, tapi pada masa yang sama si ayah mesti membayar denda RM400 setiap hari, selagi Bi Anne berada bersama ayahnya dan tidak mahu tinggal bersama si ibu.

Sebak sangat mendengar kisah kasih yang tersepit di antara anak, ayah dan ibu akibat sebuah PERCERAIAN ini.(nst)

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENJULANG MARTABAT MEMBURU DARJAT

MENERIMA SESUATU DARIPADA DATUK BANDAR SHAH ALAM, DATUK MAZALAN MD NOOR 10.10.10