HALANGAN dan dugaan dalam hidup selalunya memberi hikmah kepada kita. Betul juga kata saudara, apabila pohon tumbang, kura-kura pun akan meniti ke atas batangnya. Betul juga kata saudara, demikian lumrah kehidupan ini.
Walau kita sering tidak setuju dalam banyak perkara, saya setuju untuk bersetuju bahawa demikianlah lumrah kehidupan
Cuma untuk menjadikan kita lebih kuat, kita buang segala wasangka walaupun kadang-kala kita tidak boleh membohongi diri bahawa pepatah Melayu tentang perkataan tikam belakang memang banyak berlaku sesama manusia, terutama melibatkan manusia bernama kawan.
Musuh tidak akan menikam curi, tetapi kawanlah kerana malu dan tidak mahu dikenali, menikam ketika kita memandang ke hadapan.
Semua ini sama ada pernah saudara lalui atau tidak, seharusnya menjadi sedikit nasihat dari saya. Nasihat ikhlas kalau boleh dijadikan sedikit bekalan ketika kita memasuki medan perjuangan.
Tentang segala dugaan yang berlaku, hadapilah penuh sabar. Buang rasa dendam atau geram. Membujur lalu, melintang patah, redah dan harungilah.
Sementara pintu masih terbuka masuklah, walau tanpa salam atau ucapan selamat datang, silalah. Anak Melayu tak akan membuang bangsanya, percayalah! Semoga tenang dan sabar, berdoalah bahawa semua yang akan dilalui akan berakhir dengan mudah. InsyaAllah.