SEORANG wanita bersetuju menerima penyelesaian di luar mahkamah dalam kes samannya ke atas beberapa pihak termasuk kerajaan berhubung kejadian sebelah payu daranya dibuang secara silap.
T Silvamany, 56, bersetuju menerima RM100,000 bagi saman RM2 juta yang difailkannya ke atas Dr L Vasu Pillai, Pengarah Hospital Raja Permaisuri Bainun, Menteri Kesihatan dan Kerajaan pada tahun 2008.
Pesuruhjaya Kehakiman, Tarmizi Abdul Rahman merekodkan penyelesaian bersama itu di Mahkamah Tinggi Ipoh, hari ini.
Dalam kenyataan tuntutannya, Silvamany antaranya memberitahu payu dara sebelah kirinya dibuang oleh doktor ketika dia mendapatkan rawatan di hospital kerana dikatakan diserang kanser. Bagaimanapun, ketika datang untuk rawatan susulan, doktor berkenaan memberitahu berlaku kesilapan kerana payu daranya tidak diserang kanser.