DAH sah dah! Lebih kurang dua jam tadi, iaitu kira-kira jam 3.30 petang, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak, 24, sah menjadi suami kepada Ayu Raudhah Che Wan, 27, apabila mereka selamat dinikahkan oleh imam Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Mustafa Kamil Abdul Jamil.
Dengan sekali lafaz, Zaquan sempurna menjadi suami kepada Ayu yang berwalikan abang kandungnya, Roshidi Che Wan.
Majlis berkenaan dihadiri lebih kurang 100 orang termasuk ibu Ayu, Zabedah Saat, bapa Zaquan, Abd Razak Abdul Radzak Salleh dan ibu Zaquan, Azizah Arshad.
Zaquan menyempurna majlis membatalkan air sembahyang dengan membayar mas kahwin sebanyak RM1,888.
Malam ini majlis persandingan mereka akan diadakan di Taman Mawar, Alor Setar dan dijangka dihadiri 1,000 jemputan termasuk pemain bola sepak negara.