Inilah gambar rakan-rakan Nani yang bersama ketika mendaki Bukit Broga. |
Norhanani Shahimi...batu sebesar kepala manusia dewasa menimpa pinggangnya |
BERIKUT adalah ringkasan catatan Norhanani Shahimi, siswi UiTM yang cedera parah ditimpa batu di Bukit Broga, Semenyih pagi kelmarin.
Menurut Nani, dia dan kawan-kawannya amat gembira bertolak jam 3 dari Shah Alam menuju ke Bukit Broga. Tiba di Bukit Broga jam 5 dan jam 6 mula mendaki bukit berkenaan.
Nani dan kumpulannya tiba di puncak Bukit Broga jam 7 dan ketika itu katanya memang ramai pengunjung apatah lagi hari itu adalah cuti Thaipusam.
Insiden yang menimpanya, menurut Nani berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang lebih kurang jam 8 pagi. Mereka turun berkumpulan dan tiba di Bukit pertama di mana keadaan jalannya berbatu-batu menyebabkan mereka terpaksa turun secara menggelongsor.
Kemalangan itu berlaku secara tiba-tiba dalam sekelip mata, kata Nani. Ezzad (kawannya) ada di belakangnya ketika itu dan tidak sempat memberi amaran kerana tidak menyangka ada seketul batu sebesar kepala manusia dewasa bergolek dari arah atas bukit. Batu itu terus menuju dan menimpa ke pinggang Nani.
Sebaik ditimpa batu besar itu, kaki Nani terus tidak berfungsi dan dalam keadaan cemas itu kawan-kawannya segera menolong membawa dia ke kawasn tepi.
Seorang lagi kawannya bernama Adam menghubungi JPA3, ambulans dan 999. Lebih kurang 10.30 pagi kata Nani, bantuan tiba dan dia berada di dalam ambulans kira-kira jam 11 pagi untuk dikejarkan ke Hospital Kajang.
Nani mengucapkan terima kasih kepada semua yang berdoa untuk keselamatan dan kesihatannya. Nani juga memberitahu dia kini berasa semakin pulih.