ANGKA kematian akibat kebangkitan rakyat yang menyaksikan mereka bertembung dengan tentera yang dikerahkan presiden Hosni Mubarak mengawal keadaan, telah meningkat kepada 92 orang, termasuk 23 yang terbunuh semalam (Sabtu).
Berdasarkan ketegangan yang semakin meningkat dan tidak terkawal itu, bekas Ketua Pemantau Nuklear di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohamaed ElBaradei dilaporkan telah dapat menghubungi presiden Mubarak semalam, memberi kata dua.
Mohamed ElBaradei memberitahu Al-Jazeera, beliau menghubungi Mubarak semalan dan memberitahu presiden itu supaya dia dan rejimnya segera meninggalkan Mesir.
"Saya beritahu presiden Mubarak bahawa dia dan semua rejim pemerintahannya mesti meninggalkan Mesir secepat mungkin. Itu adalah cara paling baik demi kebaikan negara (rakyat) dan dirinya sendiri" kata Mohamed.
Malah Mohamed mengakui, tindakan memecat semua kabinet dan melantik bekas Ketua Perisikan, Jeneral Omar Suleiman bukan langkah terbaik menyelesaikan masalah yang berlaku di Mesir kini.
"Penyelesaiannya akan tercapai jika presiden Hosni Mubarak meninggalkan Mesir dengan seberapa segera" katanya.